Nor Fazlina Abdul Rahim


Tumpat: Kerajaan Negeri Kelantan memaklumkan tidak menerima bantuan banjir RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, sebaliknya berkata bantuan banjir itu disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

"Mengikut janji Perdana Menteri, beliau nak beri bantuan banjir kepada Kelantan RM50 juta dan Terengganu RM50 juta.

"Sekarang bantuan itu disalurkan kepada JPP. Bagaimana kaedah JPP nak agih kepada rakyat Kelantan, itu kita tidak tahu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir PN di Kampung Periok di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 8:11 PM