Mustapa (kiri) bersama dengan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Yahaya Mamat (tengah) berbincang mengenai projek ECRL yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mustapa (kiri) bersama dengan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Yahaya Mamat (tengah) berbincang mengenai projek ECRL yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


KERAJAAN Persekutuan akan menanggung subsidi bagi tambang pengangkutan awam Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun kos mengurus bagi perkhidmatan dan pengangkutan awam tinggi namun harga yang perlu dibayar rakyat adalah berpatutan dan mengikut kemampuan.

Beliau berkata, tiada negara yang membuat keuntungan daripada penyediaan pengangkutan awam.

"Seperti tambang Mass Rapid Transit (MRT) yang dilancarkan Disember lalu, kerajaan menanggung subsidi tidak kurang daripada 50 peratus dalam memberikan tambang yang berpatutan kepada pengguna.

"Dalam sektor kesihatan, kerajaan membelanjakan RM22 bilion setahun dan rakyat hanya membayar sebanyak RM700 juta sahaja, manakala selebihnya ditanggung kerajaan menerusi subsidi.

"Jadi rakyat diharap tidak termakan dengan dakwaan pihak pembangkang yang mengatakan bahawa tambang ECRL mahal," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan (MTPNg) Kelantan, di pejabat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi MTPNg Kelantan berkata, pembinaan ECRL di Kelantan merangkumi dua fasa yang membabitkan jarak sejauh 70 kilometer (km)

"Bagi fasa pertama pembinaan bermula dari sempadan Terengganu hingga Tunjung, Kota Bharu membabitkan jarak sejauh 46 km dan diikuti fasa kedua dari Wakaf Bharu hingga Pengkalan Kubor, Tumpat membabitkan jarak sejauh 24 km.

"Kos keseluruhan projek ECRL di Kelantan dianggarkan tidak kurang 10 peratus kos keseluruhan projek ini yang berjumlah RM55 bilion," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 6:30 PM