Zulkifli  (kiri) mengajar Rayyan  memberikan arahan kepada anggota polis sebelum menangkap ‘penjenayah’.
Zulkifli (kiri) mengajar Rayyan memberikan arahan kepada anggota polis sebelum menangkap ‘penjenayah’.

Petaling Jaya: “Dia memang bercita-cita besar menjadi polis apatah lagi selepas menonton filem Polis Evo,” kata Mohamad Shukor Ahmad, 33, bapa kepada kanak-kanak penghidap Hemophagocytic Lymphohistiocytosis (HLH) iaitu sistem imun tidak stabil, Rayyan Seif Rizqin Mohamad Shukor, tujuh tahun.

Menurutnya, Rayyan turut menghafal lirik lagu polis Evo selain kebanyakan barang permainannya berunsurkan polis.

“Ketika dirawat di HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) pihak Make-A-Wish Malaysia bertanya impian anak saya, dan Rayyan memaklumkan mahu jadi polis.

“Mereka meminta bantuan pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk merealisasikan impian itu,” katanya di Balai Polis Bandar Utama, Damansara, di sini, semalam.

Rayyan yang menghidap penyakit yang jarang berlaku di negara ini diberi peluang menjadi pegawai polis berpangkat inspektor dan menyarung pakaian seragam polis.

Program bermula jam 10 pagi itu turut membabitkan Ketua Balai Polis Bandar Utama, Sarjan Zulkifli Mohamad Noor yang menyarungkan pakaian seragam dan kasut polis kepada Rayyan.

Rayyan diajar memberi arahan kepada sepasukan anggota polis sebelum dibawa menaiki kereta peronda.

Kira-kira 15 minit kemudian, Rayyan bersama pasukannya kembali ke balai polis itu dan membawa dua lelaki yang membawa watak penjenayah dan mengiringi ‘suspek’ hingga ke lokap.

Mohamad Shukor berkata, dia sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Make-A-Wish Malaysia dan polis kerana memberi peluang kepada anaknya itu merasai pengalaman menjadi polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:15 AM