‘DR Aniq’ memeriksa pesakit.
‘DR Aniq’ memeriksa pesakit.
DR Vernon memberi tunjuk ajar kepada Aniq.
DR Vernon memberi tunjuk ajar kepada Aniq.
SOKONGAN Dr Vernon diharap menguatkan semangat Aniq untuk melawan kanser.
SOKONGAN Dr Vernon diharap menguatkan semangat Aniq untuk melawan kanser.
KASIH sayang ibu dan ayah tidak putus mendoakan kesembuhan Aniq.
KASIH sayang ibu dan ayah tidak putus mendoakan kesembuhan Aniq.
Intan Mas Ayu Shahimi


Selamat pagi Dr Aniq! Sapa pakar kanak-kanak, Datuk Dr Vernon VV Lee dengan nada ceria. Situasi yang pada mulanya janggal beransur-ansur tenang. Aniq dipakaikan kot putih sementara Dr Vernon memainkan wataknya sebagai pembantu. Semua berkaitan tugas Dr Aniq pagi itu dijelaskan dengan terperinci.

Usai penjelasan ringkas, Dr Vernon menyangkut stateskop ke leher Dr Aniq. Tanda nama tertera Dr Aniq turut dipakaikan sebagai melengkapkan penampilan doktor cilik berkenaan. Muzik ceria dimainkan dan mereka berdua menari girang.

Tidak lama kemudian seorang pesakit kanak-kanak masuk. Dr Aniq kembali ke meja memulakan konsultasi. Dari jauh, Dr Aniq nampak malu dan gugup, namun Dr Vernon bijak mengawal keadaan dengan menghulurkan bantuan.

Dari konsultasi di meja, Dr Aniq menyuruh pesakitnya berbaring untuk pemeriksaan lanjut. Satu persatu ujian pengesanan dijalankan. Bermula dengan memeriksa degupan jantung, tindakan refleks hinggalah ke ujian ultra bunyi.

Ibu bapanya hanya memerhati dari jauh. Terharu apabila impian Aniq Hisyam untuk bergelar doktor direalisasikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Make-A-Wish Malaysia dengan kerjasama Gleneagles Kuala Lumpur.

Dapat jadi doktor

Menjalani kehidupan normal, sama seperti kanak-kanak lain, Aniq memang aktif bermain terutama bersama abang dan adiknya. Namun pada Disember 2015, dia mula mengadu cepat penat dan mempunyai kesan lebam di sekitar kaki.

Lebih menghairankan, Aniq juga kerap demam pada sebelah malam dan kembali sihat pada keesokan paginya. Bagaimanapun, ibu bapanya tidak mengesyaki sebarang perkara buruk, sehinggalah Aniq dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan menghidap leukemia.

“Saya mahu menjadi doktor supaya dapat merawat ibu yang selalu penat menjaga kami adik-beradik,” katanya setiap kali ditanya mengapa memilih profesion berkenaan.

Bapanya berkata, beliau bersyukur apabila anak kedua tiga beradik itu diberi peluang menunaikan impian bergelar doktor, merawat pesakit dan mengendalikan mesin ujian di hospital.

“Memang Aniq ada menyuarakan cita-citanya menjadi doktor. Tambahan, kami sekeluarga pernah menghadapi situasi rumit, membabitkan abang dan adiknya. Abang Aniq menghidap penyakit ekzema yang agak teruk sementara adiknya menderita penyakit jantung berlubang dan meninggal dunia pada Mac lalu.

“Sekurang-kurangnya program ini membuatkan Aniq lupa seketika kepada adiknya yang sudah pergi. Malah, dia juga teruja apabila impian melihat ibunya menikmati rawatan spa turut direalisasikan Make-A-Wish Malaysia,” katanya.

Tahap kesihatan Aniq kini menunjukkan perkembangan positif selepas melengkapkan rawatan kemoterapi, namun masih perlu menjalani rawatan susulan dan pemeriksaan darah di HKL.

“Alhamdulillah, buat masa sekarang, saya amat berpuas hati dengan keadaan kesihatan Aniq. Cuma ada ketikanya dia sering mengadu rindukan adiknya yang sudah meninggal dunia. Kami juga sudah menerima keadaan ini dengan hati terbuka. Malah, saya dan isteri sentiasa berdoa dan berusaha mencari rawatan terbaik untuk Aniq,” katanya.

Hadiah untuk Aniq

Menyelami penderitaan anak kecil ini sejak lebih setahun lalu, pastinya tiada siapa yang dapat membayangkan betapa lukanya perasaan Aniq kehilangan adik tersayang kala dia berjuang melawan kanser.

Namun, setiap yang berlaku pasti membawa hikmah tersendiri. Kesungguhan ibu bapanya memohon supaya Make-A-Wish Malaysia merealisasikan impian Aniq menjadi tanda bukti betapa kasih sayang dalam keluarga itu sentiasa melimpah walaupun diuji berat oleh Yang Maha Esa.

Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish Malaysia Irene Tan berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mengatur perjalanan program bagi memastikan ia cukup bermakna buat Aniq.

“Kami percaya pengalaman Aniq sepanjang disahkan menghidap kanser mempengaruhi impiannya untuk menjadi doktor. Sebelum ini Aniq tidak dapat ke sekolah dan banyak menghabiskan masanya bertemu doktor untuk mendapatkan pelbagai rawatan.

“Malah kami sendiri cuba merealisasikan impian Aniq lebih awal, namun terpaksa ditangguhkan berikutan pemergian adiknya pada 20 Mac lalu. Mujur Dr Vernon sudi bekerjasama untuk melancarkan perancangan yang kami buat.

“Pada masa sama, kami amat berterima kasih kepada Organisasi Kebajikan Perancis, Le Marche de Noel kerana menyumbang sejumlah dana untuk Make-A-Wish Malaysia dan badan kebajikan Gleneagles Kuala Lumpur, A-Heart-for-A-Heart,” katanya.

Pengurus Kanan Pemasaran dan Komunikasi Korporat Gleneagles Kuala Lumpur Samiha Abdul Aziz, berkata pihaknya berbesar hati membuka ruang dan peluang kepada Make-A-Wish Malaysia dan Aniq sekeluarga.

“Ini kali pertama kami menunaikan impian kanak-kanak berusia enam tahun untuk menjadi doktor. Menariknya, Dr Vernon sendiri menawarkan kliniknya dan begitu teruja melayan kerenah Aniq. Malah beliau juga melapangkan jadualnya semata-mata untuk menyambut kedatangan Aniq dan memberi tunjuk ajar sepanjang program berlangsung.

“Dengan keadaan Aniq sekarang, kami percaya bantuan, sokongan dan kerjasama ini boleh jadi antara hadiah paling bermakna untuk dikenang sepanjang hidupnya kelak. Jika boleh, kami juga mahu menggembirakan Aniq sepuas-puasnya di samping memberi motivasi untuknya supaya lebih kuat pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 12:59 PM