Oleh Siti Salmiah A Hamid


Impian untuk merasai pengalaman memandu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akhirnya tercapai apabila Yayasan Make-A-Wish Malaysia dengan kerjasama SIC merealisasikan cita-cita pesakit kanser, Muhammad Danish Ariff Edi Azhar.

Danish disahkan menghidap Sarkoma Ewing pada 2013 iaitu sejenis kanser tulang yang banyak memberi kesan kepada kanak-kanak dan remaja.

Justeru, sudah menjadi tanggungjawab yayasan terbabit untuk membantu kanak-kanak dan remaja yang berhadapan dengan pelbagai penyakit kritikal dengan cara merealisasikan impian menjadi kenyataan.

Danish, 11, dari Cheras, Selangor berharap untuk menikmati pengalaman yang tidak akan dilupakan dengan memandu atau merasai pemanduan dalam kereta lumba.

Namun, sebaik saja me-ngetahui hal ini, pihak SIC tidak menolak, malah berminat untuk memenuhi hasrat Danish dan turut menjadikannya sebagai sebahagian daripada program CSR.

Buat masa ini, Danish masih bertindak balas secara positif terhadap rawatan dan menjalani rawatan kemoterapi terakhirnya, baru-baru ini. Meskipun menahan sakit, ia tidak menghalang Danish daripada menikmati semangat untuk berasa 'laju' di SIC.

Danish dibawa mengelilingi litar dengan menaiki kereta berkuasa tinggi Lamborghini LP670 oleh Pengarah Urusan JPM Motorsport, Datuk TJ Chin.

"Ia sudah pasti pengalaman yang tidak akan dilupakan.

"Saya gemar menonton filem Fast and Furious dan berangan-angan untuk memandu kereta yang digunakan di dalam filem terbabit.

"Tetapi pengalaman dibawa memandu di litar pada kelajuan tinggi sungguh mengagumkan. Ia benar-benar hebat!," kata Danish selepas menikmati kegembiraan menerusi sesi memandu di litar sepanjang 5.542 kilometer itu.

Selain itu, Danish turut berpeluang bergaya seperti pelumba kereta, kali ini de-ngan memandu sendiri dan meletakkan tangannya pada stereng bagi mengalami keseronokan go-kart di litar go-kart SIC.

Semua keseronokan itu adalah impian paling sempurna buat Danish dan keluarganya sebagai hadiah ulang tahun hari lahirnya.

Turut hadir pada sesi lawatan itu, ayahnya, Edi Azhar Mohd Ariffin, ibu-nya, Yuwana Mohamad dan adiknya, Muhd Adam Hadiff, 7 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, ia sudah menjadi matlamat untuk mereka memastikan peminat di negara ini merasai pengalaman berada di luar litar atau dibawa memandu di dalam kereta lumba.

"Matlamat kami untuk memberi pengalaman unik terutama kepada peminat setia sukan kereta lumba seperti adik Danish. Kenangan tercipta di SIC dan berharap ia menjadi sesuatu yang tidak akan dilupakannya," ujar Razlan.

Acara itu adalah kerjasama buat kali kedua antara SIC dan Yayasan Make-A-Wish Malaysia selepas kejayaan pertama tahun lalu.

Sehingga ke hari ini, Yayasan Make-A-Wish Malaysia berjaya memenuhi 200 permintaan kanak-kanak yang sedang bertarung nyawa dengan pelbagai penyakit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:01 AM