SULTAN Ibrahim berkenan bergambar bersama motosikal Harley Davidson yang akan digunakan ketika 'Harley-Davidson 2019 Road King Special Touring Bike' menjadi tarikan KMJ 2019.
SULTAN Ibrahim berkenan bergambar bersama motosikal Harley Davidson yang akan digunakan ketika 'Harley-Davidson 2019 Road King Special Touring Bike' menjadi tarikan KMJ 2019.
Mohd Sabran Md Sani


JOHOR BAHRU: Kemunculan motosikal berkuasa tinggi, Harley-Davidson 2019 Road King Special Touring Bike menjadi tarikan utama sempena program jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 yang membuka tirainya di Istana Pasir Pelangi di sini, semalam.

Kenderaan terbabit menjadi medium penghubung antara Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Keluarga Diraja Johor bersama Bangsa Johor membabitkan laluan 686 kilometer di 10 daerah di negeri ini.

Pengarah Tourism Johor, Zihan Ismail berkata, Sultan Johor berkenan mengetuai rombongan KMJ ke-22 bermula semalam dengan perjalanan hari pertama membabitkan laluan sejauh 240 kilometer.

“Majlis pelepasan KMJ 2019 yang berlangsung selama tiga hari itu menyaksikan Sultan Johor dan rombongan berkenan memulakan perjalanan dari Istana Pasir Pelangi ke Dataran Majlis Daerah Pontian.

“Baginda bersama rombongan kemudian ke Pusat Latihan Rekreasi MARKISA Kampung Sungai Nibong, Batu Pahat sebelum santapan tengah hari di sana.

“Rombongan KMJ dijangka tiba di Kompleks Sukan Tok Laji, Kesang Tasek, Tangkak, jam 3.45 petang yang mengambil masa 90 minit,” katanya.

Zihan berkata, Baginda dan rombongan Diraja Johor meneruskan penjelajahan ke Maharani Up Town, Jalan Sisi, Muar sebelum bermalam di Istana Muar.

Beliau berkata, kegembiraan rakyat Johor memeriahkan acara KMJ dapat disaksikan saban tahun.

“Komitmen rakyat Johor dilihat menerusi persembahan dan pelbagai acara menarik yang disusun di setiap lokasi persinggahan di seluruh daerah di negeri ini.

“Ia merangkumi acara seperti sukaneka, persembahan kebudayaan dan sebagainya untuk menyambut keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia (DYMM), yang dikasihi,” katanya.

Katanya, antara acara menarik dalam program itu apabila Sultan Johor berkenan menyaksikan Cub Prix 2019, melakukan aktiviti menuai padi menggunakan jentera combine harvest.

“Baginda juga menyaksikan persembahan basikal BMX, demo downhill dan pushbike dan melawat sekitar bandar Mersing terutama di Dataran Teko,” katanya.

Katanya, fungsi KMJ semakin meluas dan memberi banyak manfaat kepada pelbagai pihak turut menjadi faktor kembara ini ditunggu setiap tahun.

“Program ini menjadi kebanggaan kerana membolehkan rakyat seluruh pelosok daerah menggapai peluang bertemu sultan dan kerabat Johor.

“Pada masa sama, orang ramai dapat bermesra dengan pemimpin kerajaan negeri dan ketua kerajaan yang turut meninjau keperluan pembangunan untuk rakyat di kawasan dilawati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 5:40 AM