TOJIMAH (kiri) menyambut rombongan keluarga diraja yang singgah di Kampung Sungai Nibong, Semerah, semalam. FOTO Ihsan Kelab Media Johor
TOJIMAH (kiri) menyambut rombongan keluarga diraja yang singgah di Kampung Sungai Nibong, Semerah, semalam. FOTO Ihsan Kelab Media Johor
Mary Victoria Dass

“KALAU sebelum ini hanya melihat Tuanku dalam televisyen...hari ini dapat bertemu dengannya. Saya sangat teruja,” ujar warga emas, Tojimah Sarkam, 84.

Meskipun tidak mampu bergerak, namun dia yang berkerusi roda turut sama menyambut rombongan keluarga diraja yang singgah di Kampung Sungai Nibong, Semerah, Batu Pahat, semalam.

Tojimah menzahirkan perasaan teruja apabila dapat melihat dan merasai suasana Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 yang memulakan perjalanan hari pertama semalam.

Keterujaan dan perasaan gembira jelas terpancar pada raut wajahnya sejurus melihat sendiri Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar buat pertama kali.

“Baginda seorang yang berjiwa rakyat. Bagi warga emas seperti saya, peluang bertemu Baginda mungkin hanya datang sekali.

“Saya tidak sangka Baginda memilih kawasan perkampungan ini sebagai lokasi untuk singgah dan diharap program ini membawa kebaikan kepada rakyat jelata,” katanya.

TOJIMAH. FOTO Ihsan Kelab Media Johor
TOJIMAH. FOTO Ihsan Kelab Media Johor

Terdahulu, rombongan yang diketuai Sultan Ibrahim tiba di Pusat Latihan Rekreasi Markisa, Kampung Sungai Nibong, Semerah, Batu Pahat.

Sultan Johor diiringi Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar serta suami Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Iskandariah.

Baginda berkenan mencemar duli membuat mi siput, kek buah kukus serta meluangkan masa memetik lada hitam serta bunga roselle.

Selepas meluangkan masa hampir 90 minit bersama rakyat jelata, rombongan keluarga diraja itu meneruskan perjalanan menuju ke destinasi ketiga, Kompleks Sukan Tok Laji, Kesang Tasek, Tangkak sebelum berakhir di Maharani Up Town, Jalan Sisi, Muar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:45 AM