GABUNGAN generasi tua dan muda memantapkan usaha mengekalkan kesenian kemplingan di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang.
GABUNGAN generasi tua dan muda memantapkan usaha mengekalkan kesenian kemplingan di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang.
SEBAHAGIAN ahli Perkumpulan Kempling Parit Kassan Ledang membuat latihan.
SEBAHAGIAN ahli Perkumpulan Kempling Parit Kassan Ledang membuat latihan.
PERALATAN yang digunakan dalam persembahan kemplingan.
PERALATAN yang digunakan dalam persembahan kemplingan.
Oleh Hai Rozzaman Jalal


Ramai dalam kalangan generasi muda hari ini tidak berminat dengan kesenian tradisional warisan nenek moyang, tetapi lebih cenderung kepada muzik kontemporari yang menjadi halwa telinga mereka setiap hari.

Ini kerana generasi muda serasi dengan muzik baru yang mementingkan hiburan semata-mata berbanding kesenian tradisional yang sebahagiannya memerlukan penghayatan dan pemahaman untuk mempelajarinya.

Tidak hairanlah jika disebut muzik kemplingan, pasti ramai menggelengkan kepala, malah ada yang tidak pernah mendengarnya. Apatah lagi, kesenian itu hanya terdapat dalam kalangan masyarakat keturunan Jawa.

Walaupun satu ketika dulu ia begitu popular dalam kalangan masyarakat kampung, kini ia semakin dilupai apabila kebanyakan mereka yang mahir dengan kesenian itu sudah meninggal dunia. Yang tinggal cuma beberapa pewaris yang sudah pun di usia senja.

Ketua Kampung Parit Kassan, Ledang, Johor, Mohd Hamzah Basar, 58, berkata, bagi masyarakat keturunan Jawa yang tinggal di kampung tradisional satu ketika dahulu, antara medium untuk mengumpulkan penduduk agar lebih mesra dan bersatu atau dalam istilah Jawa dipanggil ‘guyup’ ialah melalui kesenian.

Katanya, masyarakat Jawa khususnya di Johor mempunyai kesenian tradisional sendiri antaranya barongan, wayang kulit, kuda kepang dan kemplingan.

“Di Ledang, muzik kemplingan masih wujud apabila ada sekelompok generasi tua dan muda masih menyayangi kesenian warisan turun temurun itu berusaha menghidupkannya.

“Walaupun kesenian kemplingan sudah wujud sejak lama dulu, bagi mengekalkan warisan itu agar tidak lenyap begitu saja, Perkumpulan Kempling Parit Kassan Ledang digerakkan semula sekitar tahun 1990-an,” katanya ketika ditemui.

Mohd Hamzah yang juga penasihat kumpulan itu berkata, ketika penubuhan semula kumpulan itu, ramai golongan tua mahir dengan kesenian itu dan ilmu berkenaan diajar kepada generasi pertengahan serta anak muda yang berminat mempelajarinya.

Namun, atas faktor usia dan keuzuran, ramai pewaris yang mahir dengan kesenian itu sudah meninggal dunia dan yang tinggal beberapa generasi pelapis.

“Bagi menarik minat golongan muda menyertai kumpulan ini bukan satu usaha mudah berikutan kekangan dari segi kemahuan dan kecenderungan terhadap kesenian tradisional yang pada fikiran mereka ia hanya untuk golongan tua.

“Bagi meneruskan warisan ini, kami sepakat mengadakan latihan dua minggu sekali secara bergilir-gilir di rumah ahli untuk memahirkan permainan kesenian kemplingan,” jelasnya.

Menurutnya, di daerah itu hanya beberapa kampung masih menghidupkan kesenian itu iaitu Kampung Parit Kassan, Parit Pulai Serom dan Melayu Raya Sagil, namun kebanyakannya dianggotai generasi tua.

Pengerusi kumpulan itu, Muslim Jasmin, 76, berkata, muzik kemplingan menggunakan enam peralatan iaitu gendang, kempling, karon, jidur dan dua buah kempol, manakala nazamnya diambil daripada Kitab Berzanji atau Rawi.

“Kombinasi keenam-enam peralatan itu dapat menghasilkan alunan muzik menarik diiringi nazam yang kebiasaannya dimainkan pada waktu malam oleh 10 hingga 15 ahli.

“Terdapat 16 nazam dalam muzik kemplingan berpandukan Kitab Berzanji yang menceritakan mengenai riwayat Rasulullah SAW dan setiap satunya mempunyai lenggok irama berbeza.

“Disebabkan Kitab Berzanji dalam bahasa Arab, kumpulan kami membuat perubahan dalam nazam dengan menggunakan pantun Melayu dan lagu dalam bahasa Jawa bagi menarik minat golongan muda,” katanya.

Muslim berkata, kumpulannya mendapat undangan untuk mempersembahkan permainan muzik kemplingan pada majlis keramaian seperti berkhatan, malam rewang di majlis perkahwinan atau majlis keraian.

“Selain menjadi rujukan pelajar sekolah dan penuntut universiti membuat kajian mengenai kesenian tradisional, kumpulan kemplingan turut mendapat liputan media elektronik untuk siaran rancangan dokumentari.

“Usaha mengekalkan warisan kesenian ini turut mendapat sokongan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Johor dan Ahli Parlimen Ledang Datuk Hamim Samuri yang menjadikannya sebagai produk pelancongan di daerah Ledang,” katanya.

Seorang ahli kumpulan, Muhamad Aqmaludin Kamiron, 22, berkata, generasi muda perlu mempelajari kesenian tradisional itu agar tidak lenyap begitu saja.

“Saya meminati kesenian kemplingan kerana alunan muziknya menarik, ditambah nazamnya diambil daripada Kitab Berzanji selain diperbaharui dengan menggunakan pantun Melayu sebagai galakan kepada golongan muda menyertainya.

“Kesenian kemplingan perlu dikekalkan sebagai warisan. Kalau bukan kita sebagai golongan muda mempelajarinya, pasti satu hari nanti ia akan lenyap begitu saja jika generasi seperti kami tidak mengendahkannya,” katanya yang masih menuntut di sebuah universiti tempatan.

Bagi Muhammad Helmi Mohd Janis, 22, generasi muda masa kini tidak meminati kesenian tradisional seperti kompang dan kemplingan yang masih terdapat di kampung.

“Minat terhadap kesenian tradisional itu lahir dari dalam sanubari individu itu sendiri dan saya sering mengajak anak-anak muda menyertai kumpulan kemplingan.

“Irama muzik kemplingan menarik bagi mereka yang meminatinya. Walaupun agak sukar mempelajari dan memerlukan masa agak panjang, jika dilakukan dengan penuh minat kita dapat memainkan peralatannya dengan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 12:16 PM