Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sudah selesai melakukan inkuiri terhadap syarikat penerbangan patuh syariah Rayani Air dan akan mengumumkan keputusan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya sudah merekodkan keterangan daripada pengurusan Rayani Air selain menjalankan soal siasat bagi memperoleh maklumat berkaitan syarikat itu.

Beliau berkata, pihaknya belum bersedia membuat sebarang pengumuman berkaitan syarikat penerbangan berkenaan walaupun siasatan yang bermula 12 Mei lalu sudah selesai.

“DCA juga tidak bercadang untuk mengadakan inkuiri kedua kerana kerjasama dan maklumat yang diperoleh daripada pihak pengurusan memuaskan.

“Saya tidak boleh menyatakan atau mendedahkan butiran siasatan berkaitan inkuiri berkenaan, namun ianya sudah selesai dan menunggu masa sesuai untuk diumumkan saja,” katanya.

Pada 11 April lalu, DCA menggantung sementara Sijil Pengendalian Udara Rayani Air selama tiga bulan berkuat kuasa serta-merta.

Rayani Air sebelum ini berdepan dengan pelbagai isu sehingga mendapat rungutan penumpang berhubung pelbagai masalah, antaranya pembatalan dan kelewatan penerbangan.

Berikutan itu, DCA melaksanakan inkuiri pada 12 Mei lalu bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi syarikat penerbangan itu selain memperoleh maklumat bagi melengkapkan siasatan.

Jika syarikat penerbangan itu didapati mengabaikan aspek keselamatan selain gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan bakal berdepan tempoh pergantungan lebih lama atau Sijil Pengendalian Udara di Tarik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 5:15 AM