ADNAN (tiga dari kanan) menerima sijil MBOR daripada Mohamad Alex.
ADNAN (tiga dari kanan) menerima sijil MBOR daripada Mohamad Alex.
myMetro

Putrajaya: Karnival Roda Mania 1.0 dan Serlahkan Kehebatan 5.0 yang berakhir semalam mencatat satu lagi rekod Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya menghimpunkan 616 buah kereta rendah (stance car) terbanyak dalam satu program.

Kelmarin, program sama turut mendapat pengiktirafan MBOR apabila berjaya menghimpunkan motosikal terbesar di Malaysia dengan 29,500 penyertaan.

Sijil pengiktirafan berkenaan diserahkan oleh Ketua Penganalisis MBOR Mohamad Alex Edward kepada Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikshan pada majlis penutup program itu di Presint 6, di sini petang semalam.

Dalam pada itu, Adnan dalam ucapannya berkata, program dua hari anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Putrajaya (PPj) serta Yayasan Perpaduan Ummah (YPU) itu berjaya menghimpunkan 30,000 orang membabitkan himpunan 10,000 kereta.

Beliau berkata, sebanyak 298 kelab motosikal dan 100 kelab kereta dari seluruh negara berhimpun sepanjang program berkenaan selain diserikan dengan kehadiran 100 buah trak makanan.

“Saya menyifatkan program ini berjaya kerana ia menghimpunkan hampir 300 kelab kereta dan motosikal dalam satu acara sekali gus membantu menyediakan ruang kepada golongan mat rempit atau pelesit jalanan berhimpun,” katanya.

Katanya, beliau berharap lebih banyak program untuk belia dapat dianjurkan pada masa depan terutama berkonsep santai dan selamat.

Adnan berkata, sudah tiba masanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia dan agensi berkaitan dapat memikirkan program dan aktiviti yang sesuai bagi golongan belia di negara ini.

Menurutnya, program seumpama ini dapat memupuk minda anak muda dan masyarakat umumnya untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan ke arah warga Wilayah Persekutuan sejahtera dan ceria.

“Kami di peringkat kementerian sentiasa membuka peluang kepada NGO dan organisasi serta pihak swasta untuk memartabatkan golongan belia memandangkan golongan berkenaan adalah harapan masa depan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 10:05 AM