FOTO Pixabay
FOTO Pixabay
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Edisi sulung Festival Pertukaran Budaya dan Makanan Antarabangsa Putrajaya 2017 (Festival iCHEF 2017) diiktiraf sebagai himpunan chef terbesar di Malaysia.

Festival iCHEF 2017 menghimpunkan 4,235 chef tempatan dan antarabangsa serta diiktiraf Malaysia Book Of Records (MBOR).

Lebih membanggakan, himpunan chef itu turut layak untuk memecahkan rekod perhimpunan chef terbesar dunia oleh Guinness World Records yang dianjurkan di Mexico dengan 3,634 chef.

Majlis penyerahan rekod baru MBOR itu diserahkan oleh ikon iCHEF 2017 Chef Zubir kepada isteri Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengerusi Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan, Datin Seri Anggrani Sentiyaki.

Majlis disaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Festival anjuran Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan, Perbadanan Putrajaya (PPj), Persatuan Warga Cinta Negara (Pencinta) dan Finemen Holdings Sdn Bhd itu bertujuan mempromosikan makanan dan budaya Malaysia kepada dunia.

Program yang bermula semalam dan berakhir esok turut menganjurkan kejohanan Ichef Battle of the Six Continents membabitkan 600 chef dan 30 juri antarabangsa.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, beliau berharap penganjuran festival berkenaan dapat membuka mata dunia untuk mencintai keindahan budaya, tradisi dan makanan Malaysia sekali gus mampu menaikkan nama negara.

"Usaha berkenaan juga penting bagi mengajak anak-anak muda untuk menceburi industri masakan yang dikatakan boleh mendatangkan pendapatan lumayan terutama bagi yang bergelar chef," katanya.

Katanya, penganjuran program seperti ini menepati hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai lepasan bidang pendidikan teknikal dan vokasional selaras menuju negara maju.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2017 @ 11:57 PM