JOSEPHINE (tengah) disambut peserta lain selepas meraih gelaran juara.
JOSEPHINE (tengah) disambut peserta lain selepas meraih gelaran juara.
myMetro

Ipoh: Josephine Tan tidak menyangka pertandingan ratu cantik terakhir disertainya membawa tuah selepas meraih gelaran juara dalam Pertandingan Supermodel Antarabangsa 2016 di New Delhi, India, sekali gus menjulang nama Malaysia menewaskan 40 supermodel dari seluruh dunia.

Dalam pertandingan yang berakhir pada 26 Mac lalu, Josephine, 25 meraih tempat pertama, manakala Miss Russia, Alisa Manenok tempat kedua dan Miss Finland, Julia Pikkarainen ketiga.

Josephine yang juga bekas ratu cantik Miss Malaysia Earth 2013 dan peserta Asia’s Next Top Model musim kedua berkata, laluannya meraih gelaran itu tidak mudah berikutan setiap peserta mempunyai kelebihan tersendiri, termasuk ketinggian dan personaliti menarik.

Katanya, menempuh perjalanan panjang dari satu kawasan ke kawasan lain di India dengan mengambil masa lama dari satu destinasi ke destinasi lain serta memakai saree dengan kasut tumit tinggi enam inci di pentas peragaan cabaran sukar, namun diharungi dengan penuh keyakinan.

“Semua peserta hadir bersama jurusolek peribadi dan penaja pakaian, sebaliknya saya hanya sendirian tanpa ditemani penaja yang menaja pakaian saya.

“Memandangkan had umur peserta pertandingan seumpama ini tidak melebihi 25 tahun, saya tidak meletak harapan tinggi, sebaliknya hanya menjadi diri sendiri dan berjuang habis-habisan merebut gelaran itu memandangkan persaingan lain hebat-hebat,” katanya ketika ditemui dalam majlis meraikan kemenangannya di sini, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:45 AM