Ratu cantik Malaysia, Lishalliny Kanaran.
Ratu cantik Malaysia, Lishalliny Kanaran.
Georgie Joseph 
georgie@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Wakil ratu cantik Malaysia, Lishalliny Kanaran, 24, membanggakan negara apabila menang Kostum Kebangsaan Terbaik dan bolos ke Top 20 pertandingan Miss Grand International 2021 (MGI2021) di Thailand, baru-baru ini.

Lishalliny atau Lisha memperagakan kostum bertemakan Ulek Mayang dari Terengganu rekaan Aldrin Grame yang turut mendapat perhatian serta pujian dari seluruh dunia. 

Menurut Pengarah Kebangsaan Miss Grand Malaysia (MGM), Jude Benjamin Lisa berkata pencapaian itu cukup besar maknanya selain menjadi suntikan semangat terus memartabatkan dalam industri ratu cantik tempatan.

"Sangat membanggakan dan berbaloi selepas mengharungi pelbagai cabaran dari segi persiapan ke peringkat antarabangsa. Ia termasuk persiapan yang kena patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, banyak urusan tidak dapat dijalankan atau diadakan.

"Kemenangan ini sangat bermakna untuk MGM sebagai institusi ratu cantik negara. Pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa di mana empat wakil kami berjaya lolos Top20/Top15 di Miss Grand International, Miss Intercontinental dan The Miss Globe di Malaysia begitu membanggakan.

"Kemenangan Lisha jadi suntikan semangat bahawa Malaysia mampu menjadi satu negara melahirkan wakil yang berkaliber. Ia penting untuk industri ratu cantik Malaysia selain meraih kepercayaan penaja-penaja besar untuk tahun mendatang," katanya.

Jude juga percaya kemenangan itu hasil kerja keras serta pengalaman Lisha yang sememangnya memberikan sepenuh raganya membawa nama Malaysia. 

"Walaupun persiapan Lisha sangat singkat iaitu dua bulan, dia sudah mengetahui intipati penting pertandingan ini yang dipelajari serta sepanjang tiga tahun bertanding di peringkat kebangsaan," katanya.

Berlangsung di Phuket dan Bangkok, MGI2021 disertai 61 peserta seluruh dunia. Pertandingan terbabit berlangsung selama tiga minggu sebelum acara pemahkotaan dibuat pada 4 Disember lalu.

Peserta mewakili Vietnam, Nguyen Thuc Thuy Tien dinobatkan pemenang untuk edisi kali ini. Manakala, tempat kedua milik wakil Ecuador, diikuti Brazil, Puerto Rico, dan Afrika Selatan.

Awalnya, pertandingan itu sepatutnya menampilkan 65 peserta. Bagaimanapun, empat daripadanya tidak dapat berbuat demikian pada saat akhir disebabkan sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 1:35 PM