ELLA bersama keluarga tercinta.
ELLA bersama keluarga tercinta.
Nurul Husna Mahmud


SEJAK kecil gadis kelahiran Iban Dayak, Ella Anak Apit ini, gemar melaram dan mengenakan pakaian cantik.

Bermula dari zaman persekolahan, Ella aktif mengikuti pertandingan peragaan dan acara kesenian kerana mempunyai minat yang mendalam.

"Saya menceburi bidang ratu cantik dan peragaan bukan kerana mahu mengejar populariti.

"Sebaliknya dua bidang saling berkait ini seiring dengan minat yang mendalam sejak kecil kerana pada kaca mata saya ia setara dengan dunia seni.

"Sejak sekolah rendah lagi saya suka gayakan pakaian cantik, berdandan dan berada di atas pentas.

"Tidak perlu disuruh, saya akan tawarkan diri atau masuk apa saja acara pentas bagi membantu mengasah bakat sehinggalah ke hari ini," katanya.

Pencapaian terbaik sepanjang berada lapan tahun dalam industri terbabit ialah mewakili Malaysia ke peringkat Asean iaitu Miss Malaysia.

"Saya berjaya membawa balik gelaran Miss Asia Shining Star yang berlangsung pada 9 hingga 15 November tahun lalu.

"Malah saya turut bersaing dengan 13 peserta dari pelbagai negara rantau Asean dianjurkan Pegasus Global di Kochi, India," katanya.

Dalam pertandingan itu, Ella menyifatkan sesi soal jawab paling getir dan memerlukannya melakukan persiapan rapi supaya mendapat penilaian baik di depan juri.

"Benda paling sukar bagi saya ialah sesi soal dan jawab. Sepanjang pertandingan saya kena buat kajian semua perkara isu semasa, isu berkaitan Asean, bidang kecantikan dan adat budaya supaya tidak gugup di depan kamera serta juri.

"Dalam pertandingan juga peserta perlu memperagakan tiga baju tradisional, gaun malam dan gaun acara.

"Saya mengenakan Pakaian Kebangsaan Puteri Perak dari pereka tempatan, Mazlan dan gaun malam dari designer Maswira Majid.

"Persiapan pakaian tradisional paling rumit kerana mengambil masa setengah jam berbanding dua lagi pakaian yang hanya perlukan 10 minit untuk bersiap," katanya.

Kata Ella yang juga seorang model sepenuh masa berkata, bukan mudah untuk menempatkan diri dalam bidang peragaan dan ratu cantik disebabkan persaingan hebat baik dalam negara mahupun luar.

"Ramai berpendapat dunia peragaan kecantikan termasuklah model adalah pekerjaan tidak serius dan jalan pintas untuk memiliki kesenangan.

"Hakikatnya dalam bidang peragaan dan ratu cantik perlu kerja keras seperti mengikuti kelas berjalan ('catwalk') dan dandanan.

"Saya juga belajar bina nama sendiri menerusi penyertaan dalam pelbagai pertandingan untuk lebih menonjol.

"Maklumlah ramai bakat baru dan model luar turut bersaing untuk mendapatkan tempat di atas pentas. Bagi saya itu boleh meningkatkan motivasi dengan bersaing secara sihat," katanya.

Selain persaingan dan cabaran sengit kata Ella, dia juga pernah menghadapi 'tentangan' keluarga ketika mula-mula maju menceburi bidang ratu cantik dan peragaan.

"Sebenarnya restu keluarga itu sangat penting dan saya bekerja keras pada awalnya untuk tunjuk kepada orang tua bahawa saya serius menjadi model atau ratu cantik.

"Pada awalnya orang tua keberatan, tetapi apabila saya sentiasa maklumkan perkembangan diri termasuk persiapan untuk pertandingan, mereka akhirnya memberi restu. Malah kini merekalah penyokong kuat dalam perjalanan kerjaya saya.

"Saya mahu mengharumkan nama Malaysia dan negeri kelahiran saya, Sarawak," katanya.

Mengenai perancangan kerjaya lebih stabil, kata Ella, dia kini 'berjinak-jinak' menjadi pempengaruh untuk lebih dikenali.

"Seperti saya katakan tadi persaingan dalam industri ini sangat sengit dan saya perlu kukuhkan portfolio.

"Jadi saya sedang 'menyelami' bidang media sosial sebagai pempengaruh dan kandungan khususnya mengenai pakaian. Antara saya kongsikan ialah kebaya dan saya membuat kajian selain berkongsi pelbagai jenis kebaya yang ada di Malaysia," katanya.

Perkembangan terbaru, dia melangkah setapak ke hadapan apabila berkolaborasi bersama National Director Miss Asia Malaysia 2023, Lucky Joe Mahardika untuk menjadi duta produk.

"Pada saya untuk kekal relevan dalam industri ini saya perlu bersikap terbuka dan berani mencuba.

"Saya cuba luaskan prospek kerjaya sendiri termasuklah cuba menjadi duta produk. Saya lihat itu bukan sahaja dapat membantu peniaga atau usahawan, saya juga dapat jenamakan diri," katanya.

Sementara itu, Lucky Joe Mahardika berkata, demi kelangsungan industri itu, model perlu bijak mencuri peluang.

"Saya sentiasa cuba sertai apa juga projek membabitkan 'talent' atau model yang mana dalam projek terbaru seperti drama pendek di TikTok dan juga peluang perniagaan menerusi produk penjagaan diri serta makanan.

"Malah saya rasa dengan rangkaian ini, ia menjadikan industri terbabit lebih berdaya tahan dan juga memperkemaskan lagi ekonomi dijana orang tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 7:00 AM