FRANCISCA Luhong James.
FRANCISCA Luhong James.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Wakil Malaysia, Francisca Luhong James, 25, memberi persembahan cemerlang pada pusingan penentuan ke separuh akhir pada pertandingan ratu cantik nombor satu dunia, Miss Universe 2020, di Florida, Amerika Syarikat, hari ini.

Pada pusingan itu, Francisca serta 73 peserta lain seluruh dunia memperagakan pakaian renang dan gaun malam dalam dua segmen untuk dinilai juri.

Memperagakan rekaan pereka, Rizman Ruzaini pada segmen gaun malam, gadis keturunan Dayak itu cukup anggun dan elegan. Bahkan, gaun yang digayakan itu adalah gaun kejutan dan ramai memuji.

Sekali gus, ia mengubat kesedihan pengikut ratu cantik tempatan apabila persembahan kostum Francisca semalam sedikit kelam-kabut. Namun, dalam pusingan itu, dia berjaya mempamerkan aksi yang tenang dan profesional.

Terdahulu, anak jati Kuching, Sarawak terbabit mencipta sejarah menjadi gadis Dayak pertama memenangi Miss Universe Malaysia. Ia adalah percubaan ketiganya selepas tidak berjaya dalam pertandingan Miss World Malaysia 2016 dan 2018.

Berbekalkan persediaan yang cukup lengkap, Francisca diramal mampu menamatkan kemarau penantian Malaysia selama 49 tahun untuk layak ke pusingan separuh akhir iaitu Top 21 bagi edisi kali ini.

Memasuki ke-69 penganjurannya, satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya lolos ke peringkat itu adalah Josephine Lena Wong pada 1970. Pertandingan akhir Miss Universe 2020 akan berlangsung pada Isnin, jam 8 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 1:57 PM