MANVIN (kiri) diundang memperagakan pakaian kebaya pada Majlis Pelancaran Pertandingan Reka Cipta Warisan Kebaya.
MANVIN (kiri) diundang memperagakan pakaian kebaya pada Majlis Pelancaran Pertandingan Reka Cipta Warisan Kebaya.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SELEPAS dimahkotakan sebagai pemenang utama pertandingan Ratu Wanita Malaya sekali gus memegang takhta Miss Globe Malaysia 2023 pada Oktober 2022, tuah terus berpihak kepada wanita tinggi lampai ini.

Pada November ini pula, Manvin Khera, 22, dari Kuala Lumpur bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan ratu cantik di Albania bagi merebut gelaran The Miss Globe 2023.

Ia bukan satu perjuangan yang mudah buat wanita berketinggian 173 sentimeter (cm) ini kerana dia perlu bersaing dengan ramai peserta dari 100 negara untuk meraih kemenangan.

Manvin berkata, ini julung kalinya dia menyertai pertandingan ratu cantik mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

Menurutnya, dia teruja terpilih menyertai pertandingan itu dan berbangga kerana boleh mengibarkan bendera Malaysia di Albania.

"Dalam pertandingan ini ada banyak kategori dipertandingkan, antaranya pengucapan awam, pentas peragaan ('catwalk') dan memperagakan pakaian pereka fesyen tempatan.

"Untuk kategori memperagakan pakaian pereka fesyen tempatan, saya akan memakai pakaian tradisional Malaysia seperti baju kebaya, kurung dan baju moden yang bermotifkan batik.

"Tujuannya bagi mempromosikan batik Malaysia yang mempunyai nilai estetika tinggi, melambangkan identiti dan budaya rakyat Malaysia di luar negara," katanya.

Manvin berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pertandingan Reka Cipta Warisan Kebaya di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, Manvin diundang memperagakan kebaya labuh berwarna hijau bersama empat peragawati lain daripada Ratu Wanita Malaya (RWM).

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia menyedari cabaran dalam pertandingan itu, namun optimis dan akan berusaha melakukan yang terbaik untuk memikat hati juri. Seterusnya layak menempatkan diri sebagai pemenang.

"Kedua ibu bapa memberikan maklum balas sangat positif apabila saya menyuarakan hasrat menyertai pertandingan ini (pertandingan ratu cantik di Albania).

"Malah mereka juga menjadi penyokong kuat saya selepas terbabit dalam bidang peragaan setahun lalu. Ibu bapa sentiasa memberikan motivasi jika rasa lemah semangat ('down') untuk bangkit semula," katanya.

Katanya, ibu bapa juga sangat terbuka dan bertolak ansur apabila turut membenarkan dia menangguhkan pengajiannya dalam bidang perundangan di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) selama setahun, bagi memberi tumpuan terhadap pertandingan itu.

"Ketika ini, saya sedang sibuk membuat persediaan untuk pertandingan dan perlu menghadiri kelas pentas peragaan serta kelas pengucapan awam (supaya dapat menjawab sesi soal jawab dengan baik).

"Oleh itu, saya akan meneruskan semula pengajian ini selepas tamat pertandingan.

"Mungkin selepas pertandingan saya akan sibuk dengan aktiviti peragaan. Namun, menamatkan pengajian yang tertangguh tetap keutamaan kerana mahu merealisasikan impian ibu bapa menginginkan saya menjadi peguam," katanya.

Manvin yang berketurunan Punjabi itu berkata, Pengarah Nasional RWM, Afeer Razak dan Shera Azmi serta

jurulatih pentas peragaan, Nizam Jalil adalah pihak yang mendorongnya untuk serius dalam bidang peragaan.

"Pertandingan ratu cantik di Albania juga menjadi platform saya untuk melangkah lebih jauh dalam dunia peragaan.

"Sekiranya saya diberi rezeki kemenangan, mungkin akan berjinak-jinak menceburi bidang lakonan di Malaysia dan luar negara terutama di India," katanya.

Katanya lagi, walaupun rutin hariannya sibuk, dia tetap menitik beratkan aspek kecergasan diri dengan selalu ke gimnasium dan mendaki gunung untuk melakukan aktiviti fizikal.

"Ketika di sekolah menengah, saya adalah atlet yang mewakili sekolah ke peringkat negeri dalam

acara memanah dan bola jaring.

"Jadi saya sudah terbiasa dengan gaya hidup aktif. Tambahan pula, aktiviti fizikal boleh membantu mengurangkan tekanan," katanya.

Tambah Manvin, dia fasih berbahasa Melayu atas inisiatifnya untuk menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.

"Saya mempunyai ramai rakan Melayu sejak sekolah dan hubungan kami masih akrab hingga kini.

"Ini juga akan memberi kelebihan kepada saya apabila menceburi bidang lakonan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 7:00 AM