DARI kiri, Alfred Jabu, Adenan dan Salleh mengiringi Najib melancarkan MINDA di Tebingan Kuching, semalam.
DARI kiri, Alfred Jabu, Adenan dan Salleh mengiringi Najib melancarkan MINDA di Tebingan Kuching, semalam.
Oleh Shamran Sarahan dan Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Kuching: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membidas pihak yang cuba mengheret rakyat dalam usaha menukar tampuk kepemimpinan negara melalui ‘pintu belakang’ dengan gerakan Deklarasi Rakyat baru-baru ini.

Najib berkata, rakyat perlu menilai semula keikhlasan pihak yang mengasaskan gerakan itu yang didakwa mahu menyelamatkan negara ataupun sekadar memenuhi kepentingan peribadi pihak tertentu.

Menurut Najib, pihak terbabit tidak boleh mendakwa apa yang mereka cetuskan itu sebagai deklarasi rakyat kerana ia tidak dipersetujui keseluruhan rakyat negara ini.

“Satu kumpulan mengisytiharkan deklarasi rakyat yang ingin menjatuhkan kerajaan sedangkan aspirasi dan sentimennya bukan untuk rakyat.

“Deklarasi perlu ditentukan, ditulis dan dipersetujui rakyat negara ini, tetapi sebahagian besar rakyat tidak bersetuju dengan perkara berlaku,” katanya ketika merasmikan Program Malaysia Inklusif Negara Digital (MINDA) di Tebingan Kuching di sini, semalam.

Program anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang menarik lebih 5,000 pengunjung itu turut dihadiri Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Timbalannya Tan Sri Alfred Jabu Numpang, dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Najib berkata, jika hendak mengamalkan demokrasi, ia mesti melalui penilaian tepat dan tahu perbezaan antara auta (pembohongan) dan fakta.

“Saya sudah enam tahun jadi Perdana Menteri dan 47 kali melawat Sarawak, tidak seperti lima Perdana Menteri sebelum ini. Saya datang bukan dengan tangan kosong kerana percaya Sarawak perlu dibangunkan.

“Ini baru agenda rakyat, bukannya agenda peribadi. Jangan jadikan agenda peribadi sebagai agenda rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2016 @ 8:35 AM