NAJIB dan Rosmah berbual dengan kaum Bidayuh Kampung Semban, Ulu Padawan diiringi Adenan dan isteri, Jamilah pada majlis Makan Malam Perayaan Gawai Dayak 2015.
NAJIB dan Rosmah berbual dengan kaum Bidayuh Kampung Semban, Ulu Padawan diiringi Adenan dan isteri, Jamilah pada majlis Makan Malam Perayaan Gawai Dayak 2015.
Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kuching: Kerajaan Pusat akan terus membantu Sarawak berjaya dalam Malaysia dan memastikan pembangunan di negeri ini selari dengan negeri lain di Semenanjung.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, walaupun ia mengambil masa dan belanja yang besar namun kerajaan pusat akan berusaha bagi memastikan perancangan itu terlaksana.

Katanya, beliau yakin dengan pengurusan negara yang baik dan memiliki hasil tambahan, ia boleh diagihkan sama rata kepada negeri yang memerlukan.

“Hasil negara akan diagihkan dengan adil terutama di kawasan luar bandar dan kurang maju. Kawasan ini yang perlu diberi perhatian lebih.

“Seperti yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke11 (RMK11) baru-baru ini, keutamaan kerajaan ialah memastikan pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Perayaan Gawai Dayak 2015 di Ibu Pejabat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini, semalam.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Pengerusi Pengelola Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2015 Datuk Seri Micheal Manyin.

Majlis makan malam itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan daripada etnik Sarawak.

Dalam perkembangan berasingan, Najib berkata, perjanjian pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo akan ditandatangani dalam tempoh terdekat bagi membolehkan ia dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya, beliau mahu ia diselesaikan segera kerana ia janji kepada orang Sarawak.

“Janji yang dibuat perlu ditepati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 10:35 AM