Adenan (dua dari kanan)  pada sidang media di bangunan Wisma Bapa Malaysia Petra Jaya, Kuching.
Adenan (dua dari kanan) pada sidang media di bangunan Wisma Bapa Malaysia Petra Jaya, Kuching.
Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Petra Jaya: Sebanyak 13 perkara berkaitan pentadbiran dipersetujui dalam perbincangan fasa pertama penurunan kuasa daripada Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri di Putrajaya, kelmarin.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, hasil perbincangan yang dibuat di Putrajaya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan wakil Kerajaan Pusat mencapai kata sepakat dalam 13 perkara.

Menurutnya, antara perkara yang dipersetujui berkaitan penjawatan anak negeri terutama dalam bidang perubatan dan pendidikan, projek pembangunan serta perumahan.

“Dalam perbincangan itu, Kerajaan Pusat bersetuju memberi kuasa kepada pegawai kerajaan negeri untuk mewakili Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dalam pelantikan pegawai untuk perkhidmatan awam persekutuan, terutama dalam bidang pendidikan serta perubatan.

“Selain itu, Kerajaan Pusat akan memberi keutamaan kepada anak Sarawak untuk berkhidmat di negeri ini, sekali gus memastikan 90 peratus guru yang mengajar di negeri ini membabitkan anak tempatan menjelang 2018.

“Bagi memastikan rancangan ini terlaksana, pengambilan diberi keutamaan kepada guru sandaran dengan mengikuti Diploma Perguruan ketika dalam perkhidmatan,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Wong Soon Koh, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

Adenan berkata, persetujuan turut dicapai dalam konteks pelaksanaan program pembangunan Kerajaan Pusat di negeri ini yang perlu mengambil kira Pelan Pembangunan Lima Tahun Sarawak.

Katanya, pelaksanaan projek itu perlu dirujuk dengan kementerian dan kerajaan negeri terutama dalam menentukan lokasi pembinaan sekolah, hospital dan projek pembangunan lain.

“Selain itu, dari aspek kebajikan, agensi berkaitan akan menjalankan tugas dan fungsi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepenuhnya. Semua jawatan persekutuan akan dipindahkan ke Perkhidmatan Awam Negeri.

“Bagaimanapun, Kerajaan Pusat akan menyumbang 50 peratus kos yang diperlukan seperti tertakluk dalam Majlis Kewangan Negara,” katanya.

Menjelaskan lanjut mengenai perbincangan fasa kedua dan ketiga penurunan kuasa, Adenan berkata, ia akan dibuat secara berperingkat-peringkat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 7:02 AM