Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan dari Terengganu yang mengalami masalah jantung diterbangkan ke Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan, semalam.

Bayi itu, Arissa Humairah Syukriyaz bergantung kepada mesin bantuan pernafasan sepanjang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, susulan penyakit jantung berlubang yang semakin kronik dan masalah paru-paru.

Dia diterbangkan ke IJN menerusi penerbangan ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakan helikopter Agusta Westland AW 139 yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, jam 11.20 pagi.

Ibu bayi itu, Norhafiza Mat Rashid, 34, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu dikesan menghidap penyakit berkenaan beberapa bulan lalu apabila muka dan kukunya menjadi biru.

Dia yang bekerja sebagai jururawat di Klinik Kesihatan Jabi, Jertih, Terengganu kemudian membawa bayinya menjalani pemeriksaan dan disahkan menghidap penyakit berkenaan serta dirawat di HRPZII.

“Bagaimanapun, ketika di hospital, dia dalam keadaan kritikal dan bergantung kepada mesin pernafasan.

“Pakar merujuk dia ke IJN dan dijadualkan menjalani pembedahan sebaik tiba di sana,” katanya ketika ditemui di LTSIP, semalam.

Norhafiza bersyukur kerana empat kru APMM yang diketuai Kapten Wan Najib Azrin Wan Nor Adib membantu membawa anaknya ke IJN bersama seorang doktor, Mohd Badrul Hisyam Alias dan jururawat, Rozita Juhari.

Dia berharap selepas pembedahan itu, anaknya akan sembuh dan kembali normal seperti bayi lain.

Sementara itu, Wan Najib Azrin berkata, penerbangan itu mengambil masa satu jam setengah memandangkan keadaan cuaca mendung dan angin kuat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 9:50 AM
 ROZITA  memangku Arissa Humairah untuk dibawa ke IJN, semalam.
ROZITA memangku Arissa Humairah untuk dibawa ke IJN, semalam.