PELBAGAI aktiviti harian gajah dapat disaksikan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Pahang.
PELBAGAI aktiviti harian gajah dapat disaksikan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Pahang.
Oleh Rosyahaida Abdullah

Temerloh: Melihat kepada caranya mengendalikan gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, di sini, dia kelihatan cekap dan berpengetahuan luas mengenai gajah, namun tidak pula dia mengenakan pakaian seragam pusat terbabit sebagaimana dipakai majoriti kakitangan lain.

Rupa-rupanya dia antara 30 penduduk sekitar yang berkhidmat sebagai pemandu pelancong PKGK sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Ahmad Nor Shaiful Mahamed, 22, penduduk sekitar yang berhasrat menjadi pemandu pelancong perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya 120 jam di PKGK sebagai sukarelawan bagi mendalami selok-belok gajah sebelum disampaikan pula kepada pengunjung.

Ia antara program PKGK Kuala Gandah dalam membuka peluang buat penduduk sekitar menjana pendapatan tetap mahupun sampingan.

“Saya mula menghabiskan masa bersama gajah di sini sejak 2012 sebelum memutuskan untuk menyambung pengajian dalam bidang veterinar di Institut Veterinar Malaysia, Johor.

“Tamat pengajian, saya kembali ke sini dan memohon sebagai pemandu pelancong. Sekarang saya antara 15 pemandu pelancong yang aktif di sini.

“Bagi saya, tempoh 120 jam ditetapkan memastikan kami bukan saja punya ilmu yang tepat untuk disampaikan kepada pengunjung tetapi juga mempunyai kemahiran asas untuk mengendalikan gajah sewaktu bekerja,” katanya.

Mengulas khidmat yang ditawarkan, Ahmad berkata, RM50 adalah caj asas bagi setiap khidmat pemandu pelancong yang disediakan untuk maksimum 10 pengunjung dalam satu kumpulan.

Caj tambahan bagaimanapun dikenakan untuk aktiviti tambahan seperti memandikan anak gajah yang ditetapkan RM10 bagi dewasa dan RM5 kanak-kanak.

“Aktiviti memandikan anak gajah baru saja ditawarkan dua tahun lalu. Adanya aktiviti ini menarik lebih ramai pengunjung ke sini, sekali gus mewujudkan potensi lebih luas buat khidmat kami di PKGK.

“Selain itu, ada juga pakej lain mengikut kesesuaian pengunjung dan mereka boleh periksa pakej ini di laman web dan Facebook PKGK atau datang terus ke pusat,” katanya.

Antara yang mendapatkan khidmat pemandu pelancong ialah Malika dan Yan, pelancong dari Perancis.

Pasangan berusia 27 tahun ini meluangkan hari ketiga mereka di Malaysia sepenuhnya di PKGK Kuala Gandah dan menyifatkan ia antara pengalaman paling unik sepanjang berada di Asia Tenggara.

“Kami berpeluang memandikan anak gajah, membersihkan kandang dan memberi gajah makan snek seperti betik yang kami potong sendiri terus ke mulutnya. Ia pengalaman menakjubkan dan berbaloi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 8:33 AM