YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melihat sekumpulan gajah ketika meluangkan masa bersama rakan baginda yang menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), United Kingdom pada 1978 dan 1979 di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang. FOTO BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melihat sekumpulan gajah ketika meluangkan masa bersama rakan baginda yang menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), United Kingdom pada 1978 dan 1979 di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Temerloh: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan meluangkan masa bersama rakan baginda di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, di sini.

Keberangkatan Seri Paduka bersama 13 rakan baginda yang pernah menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS) United Kingdom itu, disambut Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Kesemua rakan baginda yang menjalani latihan bersama pada 1978 dan 1979 tiba dari United Kingdom pada Ahad bagi lawatan ke Malaysia atas undangan Seri Paduka.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua PKGK Kuala Gandah Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman.

Sejurus tiba di pusat konservasi itu, Al-Sultan Abdullah bersama rakan baginda dibawa melawat pameran daripada pelbagai agensi selain turut meluangkan masa memberi makan gajah.

Seri Paduka kemudian berkenan menyaksikan persembahan yang dimulakan dengan seekor anak gajah betina dikenali Ellie yang memakai kaki palsu akibat terkena jerat pemburu haram, diikuti perarakan masuk gajah dikenali Lasah, Sanum, Pyan, Rambai, Cheri dan Alam selain pertunjukan 'gajah tunjuk ekor', 'gajah baring' dan 'gajah mandi di sungai'.

Al-Sultan Abdullah juga santai merakam gelagat haiwan darat terbesar itu selain turut bergurau-senda dengan rakan RMAS ketika lawatan berkenaan.

RMAS adalah institusi latihan ketenteraan terkemuka dunia yang terkenal dalam pembangunan kepimpinan dan latihan asas pegawai tentera darat.

Pada lawatan itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyantuni dan bertanya khabar pengunjung yang hadir ke pusat pelancongan itu.

PKGK Kuala Gandah ditubuhkan pada 1989 yang kini mempunyai 25 ekor gajah serta merekodkan kedatangan kira-kira 200,000 pengunjung setahun sebelum pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 7:17 PM