Maimunah membetulkan ikatan di tangan  Siti Nuraisyah.
Maimunah membetulkan ikatan di tangan Siti Nuraisyah.

Klang: Ibu pelajar tingkatan satu yang putus kedua-dua kaki akibat digilis lori Siti Nuraisyah Sahrin, 13, berharap kaki anak perempuannya sembuh sepenuhnya.

Maimunah Md Razalli, 48, berkata, dia mahu luka kaki anaknya benar-benar sembuh walaupun perlu menerima rawatan untuk tempoh lama di hospital.

“Biar luka di kedua-dua kakinya bersih dan tiada jangkitan kuman. Selepas itu baru saya yakin bawanya pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, semalam.

Maimunah berkata, kaki kiri anak perempuannya bernanah baru-baru ini akibat jangkitan kuman menyebabkan jahitan terpaksa dibuka semula.

Menurutnya, Siti Nuraisyah atau Ecah juga bertanya bila dia boleh pulang ke rumah.

“Saya perlu memastikan anak saya sihat sepenuhnya. Persekitaran yang berhabuk dan kotor akan menjejaskan lagi luka di kedua-dua kaki Ecah jika dibawa pulang dalam masa terdekat.

“Jika dirawat di hospital, keadaannya lebih terjamin serta terkawal,” katanya.

Siti Nuraisyah putus kedua-dua kakinya selepas digilis lori dalam kemalangan di Parit 16, Sungai Panjang, dua minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 7:32 AM