KADIR (kiri) ditenangkan ahli kelurganya.
KADIR (kiri) ditenangkan ahli kelurganya.

Temerloh: “Arwah begitu erat menggenggam tangan ketika bersalam dengan saya sebelum bertolak untuk menghadiri majlis kenduri kahwin di Raub,” kata Kadir Abdul Hamid, 65, suami kepada Maimunah Mohd Sidek, 62, yang terbunuh selepas kereta Proton Wira dinaiki bertembung dengan Toyota Avanza di Kilometer 22, Jalan Jerantut-Temerloh, di Kampung Tekal, di sini, kelmarin.

Kadir berkata, arwah isterinya memberitahu dan meminta izin beberapa hari sebelum kejadian untuk menghadiri majlis kenduri kahwin saudara mereka di Raub.

Katanya, setibanya pada hari yang diberitahu iaitu (kelmarin), arwah begitu kuat menggenggam tangan ketika bersalam dengannya sebelum bertolak ke Raub bersama dua anak mereka iaitu Ilyana, 39, dan Muhamad Naim, 36, serta tiga lagi cucu Wan Nur Amalina Nabila Wan Mohd Hamidi, 10, Wan Nur Adawiah, 8, dan Wan Nur Mohd Arfan, 4.

Katanya, dia tidak menyangka sikap itu adalah ‘salam terakhir’ sebelum menerima panggilan daripada orang awam berhubung kemalangan dan bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan isteri, anak dan cucunya.

“Saya sedih dengan kejadian berlaku namun reda ketentuan Allah SWT yang lebih menyayanginya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Maimunah bersama anaknya Ilyana terbunuh selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka yang dipandu anak lelaki, Muhamad Naim, 36, hilang kawalan sebelum terbabas dan bertembung sebuah Toyota Avanza di laluan selekoh, di Kilometer 22, Jalan Jerantut-Temerloh, dekat Kampung Tekal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 9:02 AM