Papar: “Sebelum ibu bersama abang dan tiga kakak ke Kota Kinabalu untuk menziarahi keluarga, ibu mencium dahi saya selepas saya bersalam dengannya. Saya tidak sangka ia ciuman terakhir daripada ibu,” kata Silza Liyana Sukarno, 16, yang kehilangan semua anggota keluarganya selepas mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 40, Jalan Kimanis-Keningau di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang, ibunya Supiati Mohd Salleh, 53, abangnya Mohd Eka Sudarmono, 37, dan tiga kakaknya Nur Fitriati, 28, Dwi Rahmahyanti, 35, dan Triana Nur Khasanah, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Seorang lagi penumpang iaitu anak kepada Dwi Rahmahyanti, Mohd Hamizan Mohd Khaidir, 2, masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

Silza Liyana adalah anak bongsu daripada lima beradik dan katanya, sebelum kejadian, mereka sekeluarga baru mengadakan kenduri arwah bapanya di rumah mereka di Tawau minggu lalu.

Menurut Silza Liyana, ibunya sempat memasak lauk untuknya sebelum dia ke sekolah. Selepas itu, barulah kelima-lima anggota keluarganya berangkat ke Kota Kinabalu.

“Petang itu, saya dimaklumkan sepupu bahawa kereta dinaiki kelima-limanya terbabit dalam kemalangan menyebabkan mereka terkorban,” katanya.

Silza Liyana kemudiannya ke rumah keluarganya di Kampung Baru Kimanis, Papar. Jenazah lima sekeluarga berkenaan kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawa Kimanis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 11:39 AM