Rosli Ilham


Chukai: "Kesedihan kehilangan suami masih belum terubat dan hari ini sekali lagi saya diuji dengan kehilangan cucu tersayang," kata Rosnah Abu Bakar, nenek kepada Allahyarham Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 246, Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, tengah malam tadi.

Rosnah, 65, berkata, dia menerima berita kemalangan yang menimpa cucunya itu daripada ibu Ahmad Naim, Shamila Abdullah, 44, kira-kira jam 4 pagi.

"Saya rasa pelik bila Shamila telefon saya di awal pagi dan beritahu Naim meninggal kemalangan di Perak sebelum dia menangis sekuat hati.

"Luluh hati saya terima berita menyedihkan ini namun saya reda dengan apa yang disuratkan Ilahi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Penunjuk Kijal Kemaman, petang tadi.

Dia berkata, Allahyarham adalah cucu sulung antara sembilan cucunya dan paling rapat.

"Arwah suami, Abdullah Sulong, 75, meninggal pada 12 Disember tahun lalu. Sejak kematian suami, Ahmad Naim jadi tempat saya mengadu dan penghibur saya," katanya.

Rosnah berkata, sempena cuti Aidilfitri lalu, arwah kerap melawatnya dan sempat tidur selama dua malam di rumahnya.

"Saya banyak bercerita kisah arwah datuknya dan arwah (Ahmad Naim) ada berjanji selepas peperiksaan Jun nanti, dia akan menemankan saya selama dia bercuti.

"Kini semuanya itu menjadi kenangan biarpun saya tidak sangka cucu kesayangan akan pergi menghadap Ilahi lebih awal daripada saya," katanya.

Sementara itu, adik arwah, Ahmad Naqiu Najmi, 14, berkata, arwah abangnya itu kerap menghubungi ibu dan malam tadi adalah kali terakhir mereka berhubung.

(DARI kanan), Nur Damia Ahmad Hafizan, 12, Nur Diana, 17 dan Ahmad Naqiu Najmi, 14, tidak dapat menahan sebak selepas abang mereka, Ahmad Naim Najmi, 21, meninggal dunia dalam kemalangan malam tadi. FOTO Ghazali Kori
(DARI kanan), Nur Damia Ahmad Hafizan, 12, Nur Diana, 17 dan Ahmad Naqiu Najmi, 14, tidak dapat menahan sebak selepas abang mereka, Ahmad Naim Najmi, 21, meninggal dunia dalam kemalangan malam tadi. FOTO Ghazali Kori

"Arwah abang hubungi ibu malam tadi memaklumkan dia ke Ipoh bersama rakan untuk bersiar sambil membeli buku," katanya.

Katanya, ketika pulang beraya selama lima hari, arwah seperti biasa menasihati adik beradik supaya belajar bersungguh-sungguh.

Katanya, jenazah abangnya itu akan dikebumikan bersebelahan kubur datuk di Kampung Kijal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 7:01 PM