MOHD Zihad menunjukkan gambar bapanya dan salinan laporan polis.
MOHD Zihad menunjukkan gambar bapanya dan salinan laporan polis.
Oleh Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang juruteknik kilang resah apabila bapanya yang menghidap penyakit Alzheimer masih tidak ditemui selepas menghilangkan diri dari kediaman ibu saudaranya di Seberang Jaya, dekat sini, sejak dua minggu.

Mohd Zihad Mohd Nor, 28, yang bekerja dan menetap di Jerteh, Terengganu mahu menghadiri majlis perkahwinan saudara-mara di Kedah dan menumpang di rumah ibu saudaranya dengan membawa bersama isteri dan anak serta bapa dan nenek mentuanya.

Bagaimanapun, Mohd Zihad berkata, dia yang tidur di sebelah bapanya, Mohd Nor Bidin, 74, terkejut apabila mendapati bapanya tiada di sebelahnya ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh pada 21 November lalu.

“Saya bertanggungjawab menjaga ayah sejak arwah ibu meninggal dunia lapan tahun lalu dan saya menguruskan segala perkara mengenai perubatan ayah.

“Ayah menghidap penyakit ini sudah lama iaitu ketika arwah ibu masih ada, tetapi tidak sangka melarat seperti ini hingga dia hilang,” katanya.

Mohd Zihad berkata, dia bertambah kusut memikirkan bapanya yang hilang dalam keadaan sehelai sepinggang tanpa membawa kad pengenalan dan wang, apatah lagi bekalan ubat yang perlu dimakan setiap hari.

“Memikirkan keadaan itu membuatkan hati saya tidak keruan walaupun membuat laporan polis serta memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta hospital untuk membantu,” katanya.

Mohd Zihad berkata, dia yang sepatutnya menghabiskan cuti pada 29 November lalu dan pulang ke Terengganu memanjangkan cuti sehingga Ahad ini hasil keprihatinan majikannya dan mahu meneruskan usaha mencari bapanya.

“Saya masih ada beberapa hari lagi di sini mencari ayah sebelum pulang ke Terengganu dan berharap orang ramai yang menemui ayah menghubungi saya atau menghantarnya ke balai polis berhampiran.

“Kali terakhir ayah saya memakai baju baju-T berkolar merah, seluar hitam dan selipar berwarna coklat gelap. Orang ramai yang menemuinya boleh menghubungi saya di talian 017-8605929, 017-4879492 dan 013-6891547,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 6:52 AM