NURUL Akmal bersama arwah bapanya.
NURUL Akmal bersama arwah bapanya.
Redzuan Muharam


Johor Bahru: Hanya mampu peluk cium tanah. Itu yang dilakukan pembantu perawatan kesihatan, Nurul Akmal Sulaiman yang tidak sempat menatap wajah bapanya, Sulaiman Mohd buat kali terakhir sebelum insan tersayang itu dikebumikan.

Nurul Akmal, 29, lewat tiba kerana menetap di Bukit Saujana di sini dan perlu menaiki bas untuk pulang ke kampung halamannya di Kampung Parit Che Ha, Kuala Terengganu, Terengganu.

Ditakdirkan, tiket bas ke Kuala Terengganu habis kerana ramai pulang mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) menyebabkan Nurul Akmal perlu naik bas ke Kuantan, Pahang sebelum meneruskan perjalanan ke Terengganu.

"Ayah meninggal dunia akibat serangan jantung dan menghembuskan nafas terakhir jam 4.40 pagi, 10 Ogos lalu.

"Ketika itu, saya sudah tidur dan tidak sedar panggilan adik. Pada jam 6.30 pagi, baru saya tersedar dan tanpa berlengah terus ke terminal bas bagi membeli tiket pulang ke kampung.

"Namun tiket habis. Saya yang tiada pilihan terus naik bas ke Kuantan dan apabila tiba di sana, abang jemput saya ke kampung.

NURUL  Akmal dipujuk ahli keluarga kerana tidak dapat menahan kesedihan di atas pusara bapanya.
NURUL Akmal dipujuk ahli keluarga kerana tidak dapat menahan kesedihan di atas pusara bapanya.

"Bagaimanapun, saya tiba di tanah perkuburan jam 4.30 petang. Memang tak sempat kerana jenazah ayah dikebumi selepas solat Zuhur," katanya.

Nurul Akmal berkata, kali terakhir dia bertemu bapanya adalah awal bulan ini ketika pulang ke kampung.

Katanya, ketika itu, bapanya di wad neurologi kerana masih menerima rawatan di hospital.

"Saya sempat lawat ayah di hospital namun dia tidak boleh bercakap waktu itu.

"Itu kali terakhir saya menatap wajahnya dan sedih mengenangkan ayah kini sudah tiada.

"Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, saya sedih dan berasa ralat tidak dapat berjumpa serta peluk cium jenazahnya.

"Mana tidaknya, saya anak bongsu perempuan. Saya memang rapat dengan ayah dan kini kehilangannya pula selepas pemergian emak dua tahun lalu akibat penyakit sama," katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Nurul Akmal tidak menyangka video dimuat naiknya itu mendapat perhatian ramai.

"Adik yang rakam video dan saya muat naik sebagai kenangan dengan ayah.

"Alhamdulillah, ramai doakan dan sedekahkan al-Fatihah buat ayah walaupun tidak mengenalinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 7:00 AM