IDRIS  beramah mesra dengan sebahagian pelajar pada majlis penganugerahan autonomi dan aspirasi universiti-industri UMP, semalam.
IDRIS beramah mesra dengan sebahagian pelajar pada majlis penganugerahan autonomi dan aspirasi universiti-industri UMP, semalam.
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Pekan: Semua 20 universiti awam di negara ini dijangka akan memperoleh status autonomi dalam beberapa tahun lagi seterusnya mampu melonjakkan daya saing, prestasi akademik dan modal insan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, setakat ini 13 daripadanya sudah memperoleh status berkenaan yang membolehkan mereka bebas menentukan hala tuju universiti masing-masing.

“Dijangkakan beberapa universiti lagi akan diberikan autonomi secara berperingkat pada masa akan datang yang mengguna Kod Panduan Amalan Tadbir Urus Terbaik (CUGG) dan Indeks Tadbir Urus Universiti Terbaik (UGGI) yang membolehkan universiti bergerak dengan berkesan dalam mencapai agenda kecemerlangan masing-masing.

“Apabila mereka diberi status autonomi maka mereka bebas menentukan sendiri kursus pembelajaran, pengambilan pelajar, tahap graduan dan modal insan,” katanya dalam sidang media selepas majlis penganugerahan autonomi dan aspirasi universiti-industri Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Datuk Seri Mohd Hilmey Mohd Taib dan Naib Canselor UMP Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Idris turut menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara UMP dengan 11 rakan industri sebagai kerjasama strategik melaksanakan pelbagai kajian dan penyelidikan (R&D).

Beliau berkata, UMP adalah universiti awam yang ke-13 menerima status autonomi merangkumi empat bidang utama iaitu tadbir urus institusi, tadbir urus kewangan, tadbir urus sumber manusia dan tadbir urus akademik.

Dua belas universiti awam menerima status autonomi iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Universiti lain, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka, (UTEM).

Sementara itu, Daing Nasir berkata, sebagai inisiatif baru meneroka sumber kewangan dan penjanaan pendapatan tanpa bergantung kepada pembiayaan kerajaan, pihaknya memperkenalkan program MyGift .

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:56 AM