Prof Dr Md Nasir Ibrahim
Prof Dr Md Nasir Ibrahim
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan pelantikan Prof Dr Md Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa esok sehingga 30 Oktober 2023.

Pelantikan Md Nasir adalah bagi menggantikan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang berakhir pada 15 Oktober lalu.

Ketua Setiausaha KKMM Datuk Mohammad Mentek berkata, pengalaman luas dan ketokohan Md Nasir dalam bidang pengurusan industri kreatif serta pembangunan polisi, tadbir urus dan pendidikan dalam seni budaya di peringkat tempatan serta antarabangsa sudah terbukti cemerlang.

Beliau berkata, ia termasuk pengalaman Md Nasir menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik di Akademi Seni dan Warisan Budaya (Aswara) dan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).

"KKMM yakin kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam bidang industri kreatif, khususnya seni budaya mampu memacu Finas sebagai badan peneraju untuk menggalak, memelihara dan menyumbang kepada kemajuan industri perfileman negara.

"Saya percaya sinergi antara beliau dan ahli Perbadanan Finas akan terus memantapkan hala tuju, perancangan dan pelaksanaan yang lebih komprehensif bagi melonjakkan industri filem serta ekonomi kreatif di peringkat tempatan termasuk antarabangsa," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Md Nasir berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Seni dari Universiti Tasmania, Australia pada 2008 dan Pasca Kedoktoran dalam bidang yang sama dari Universiti Sheffield Halam, United Kingdom pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 6:06 PM