IDRIS (dua dari kiri) menyampaikan Sijil Perakuan Status Swaakreditasi UniKL kepada  Dr   Mazliham dan  Timbalan Presiden Akademik dan Teknologi UniKL, Prof Datuk Dr Azanam Shah Hashim (dua dari kanan) sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa (kanan).
IDRIS (dua dari kiri) menyampaikan Sijil Perakuan Status Swaakreditasi UniKL kepada Dr Mazliham dan Timbalan Presiden Akademik dan Teknologi UniKL, Prof Datuk Dr Azanam Shah Hashim (dua dari kanan) sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa (kanan).
Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: Sehingga kini, sebanyak 19 universiti di seluruh negara dianugerahkan Perakuan Status Swaakreditasi dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) apabila dua kampus Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menerima pengiktirafan status berkenaan semalam.

Kedua-dua kampus itu ialah Kampus Kota iaitu kampus induk universiti berkenaan dan kampus Malaysia France Institute (MFI) di Bangi.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, perakuan itu satu autonomi akademik yang membolehkan UniKL mengakreditasi sendiri program pengajian ditawarkan di dua kampus itu berpandukan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dan piawaian serta ketetapan MQA serta Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Selain itu, ia juga satu pengiktirafan kepada sistem kualiti dalaman yang mantap dibangunkan pihak universiti dan disahkan melalui audit dilaksanakan pihak MQA.

“Penganugerahan ini susulan kepada lapan penyampaian sijil yang disempurnakan pada 20 Mac lalu dan secara keseluruhan, 19 universiti dianugerahkan status ini membabitkan lapan universiti awam, tujuh universiti swasta serta empat kampus cawangan universiti luar negara,” katanya majlis penyampaian Sijil Perakuan Status Swaakreditasi UniKL, di sini, semalam.

Sijil perakuan itu disampaikan beliau kepada Presiden UniKL Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 5:13 AM