DR Abdul Aziz dan Dr Yuserrie bergambar bersama Dr Mohd Faizal yang memenangi empat Anugerah Cendekia Bitara dalam kategori penerbitan jurnal, geran antarabangsa dan geran industri.
DR Abdul Aziz dan Dr Yuserrie bergambar bersama Dr Mohd Faizal yang memenangi empat Anugerah Cendekia Bitara dalam kategori penerbitan jurnal, geran antarabangsa dan geran industri.
Suliati Asri


UNIVERSITI Malaysia Pahang (UMP) melaksanakan penjajaran semula membabitkan pemerkasaan penyelidikan, inovasi industri dan pengkomersialan dari segi peningkatan keupayaan, kapasiti penyelidikan yang lebih dinamik serta proaktif.

Ini dilaksanakan melalui tadbir urus geran dan penawaran dana serta geran baharu yang berimpak tinggi dengan objektif khusus untuk menghasilkan idea baharu, memfokuskan isu strategik semasa negara, mendepani cabaran dan mengadaptasi Transformasi Digital menerusi Revolusi Industri 4.0.

Usaha ini menyaksikan transformasi agenda penyelidikan, inovasi industri dan pengkomersialan UMP diperkukuh dan diperkasakan seiring dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 yang dilaksanakan menerusi Objektif Strategik 2 iaitu Inovasi dengan Kolaborasi Industri dan Objektif Strategik 3 Penerokaan Teknologi Berimpak Tinggi.

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, UMP menyediakan latihan kepada industri dengan menggunakan kepakaran dan teknologi yang dimilikinya.

Menurutnya, bagi tujuan mencapai kemampanan kerjasama antara UMP dan industri, ia juga akan dibina bagi meningkatkan keupayaan teknikal industri dengan menggunakan kepakaran serta teknologi yang dimiliki ahli akademik UMP.

"Kini UMP mencapai sasaran dengan meningkatkan bilangan latihan teknikal bersama industri dan kendalian industri berbanding tahun sebelumnya. Begitu juga dari aspek kerjasama naik taraf keupayaan teknikal industri.

"Di samping itu, sebanyak 20 Geran Pembangunan Produk (PDUGrant) diwujudkan untuk menghasilkan prototaip atau produk yang mampu berfungsi dengan menggabung jalin kepakaran penyelidik dalaman dan komponen sedia ada di pasaran," katanya dalam Majlis Anugerah Cendekia Bitara 2021 (ACB 21).

Majlis yang bertemakan Pillars of The New Dawn itu disempurnakan Mohd Sharim Md Zain yang mewakili Menteri Besar Pahang.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Seri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Ts Dr Mohd Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), ProfesorTs Dr Kamal Zuhairi Zamli dan pengurusan tertinggi UMP.

Majlis ACB 21 menyaksikan 221 penerima staf akademik UMP yang mengharumkan nama universiti itu dalam bidang penyelidikan, penulisan dan pengajaran diraikan dalam majlis Anugerah Cendekia Bitara yang berlangsung di Hotel Zenith, Kuantan.

Penerima anugerah membabitkan Anugerah Cendekia Bitara (ACB) Kategori penerbitan jurnal (39), ACB Kategori Geran Antarabangsa (2), ACB Kategori Geran Industri (3), ACB Kategori Harta Intelek yang dikomersil (1), Anugerah Sanjungan Kategori Penerbitan Jurnal (15), Anugerah Sanjungan Kategori Produk Penyelidikan (6), Anugerah Merit Emas Kategori Penerbitan Jurnal (103), Anugerah Merit Perak Kategori Penerbitan Jurnal (50) dan Anugerah Akademik Universiti (2).

Sementara itu, Mohd Sharim menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penyelidik yang menerima anugerah kerana sudah menyumbangkan kecemerlangan kepada universiti seterusnya kepada Malaysia.

Menurutnya, kini penyelidikan dan pembangunan (R&D) memainkan peranan penting dalam kejayaan jangka panjang sesebuah universiti yang seterusnya diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi masing-masing.

"Kerajaan turut mempromosikan strategi pertumbuhan dan aktiviti R&D yang menjana nilai ilmu dan ekonomi.

"Ia penting untuk kesejahteraan negara untuk terus berdaya saing dalam ekonomi dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 6:20 AM