Pemandangan di sekitar I-City yang menjadi pilihan ibu bapa meluangkan masa  bersama keluarga sempena cuti sekolah.
Pemandangan di sekitar I-City yang menjadi pilihan ibu bapa meluangkan masa bersama keluarga sempena cuti sekolah.
Oleh Icka S Hassan


Shah Alam: Sempena cuti persekolahan, Taman Tema i-City menawarkan pelbagai keseronokan kepada pengunjung melalui pelbagai permainan dan tarikan terbaru yang dipertingkatkan.

Antara lokasi wajib dikunjungi adalah rumah salji atau SnoWalk yang baru dinaik taraf membabitkan dekorasi luar dan permainan di dalamnya.

Di pintu masuk SnoWalk, pengunjung boleh melihat dari jauh ukiran berbentuk ais yang mempunyai patung bermain ski, penguin serta beruang di atasnya.

Pada waktu malam sinaran lampu memeriahkan pintu gerbang berkenaan, malah pengunjung boleh merakam gambar di kawasan dilimpahi pelbagai jenis cahaya lampu.

Di dalamnya pula pelbagai permainan dan aktiviti disediakan secara percuma seperti boya luncur, kereta luncur, kerusi luncur, papan luncur dan pelbagai lagi yang membabitkan ais.

Malah suhu di bawah lima darjah Celsius sudah pasti memberi kesejukan yang boleh dirasai seperti musim salji di Eropah.

Salah seorang pengunjung, Taniah Awang, 51, dari Johor Bahru berkata, kunjungan pertama kali ke SnoWalk membawa seribu kenangan seolah-olah bercuti di luar negara pada musim salji.

Menurutnya, dia terpaksa keluar semula dari rumah salji itu berikutan tidak dapat menahan kesejukan walaupun hanya beberapa minit berada di dalamnya.

“Saya memang tidak boleh tahan sejuk, namun saya seronok kerana pelbagai aktiviti disediakan di sini,” katanya dalam keadaan menggigil kesejukan.

Siti Suriyati Syed Othman, 24, dari Petaling Jaya berkata, banyak tempat menarik boleh dilawati termasuk City of Digital Lights yang menjadi lokasi pilihannya.

“Kawasan ini salah satu lokasi menarik bagi saya kerana terdapat pelbagai jenis lampu digital, permainan dan karakter kartun.

“Selain sangat menarik mengambil gambar di sini, saya dapat juga merasai permainan yang disediakan memandangkan bayaran dikenakan berpatutan,” katanya.

Menurutnya, selain mengunjungi City of Digital Lights, muzium patung lilin atau Red Carpet juga antara lokasi dikunjunginya kerana kagum dengan pembuatan patung selain boleh bergambar dengan pemimpin dunia dan selebriti daripada pelbagai bidang.

Sementara itu, Pengurus Maklumat i-Berhad Tang Soke Cheng berkata, i-City sentiasa mempertingkatkan mutu dari masa ke semasa bagi memastikan pengunjung sentiasa teruja dan gembira terutama pada musim cuti sekolah.

“Sepanjang cuti sekolah kali ini, kami menganggarkan lebih 100,000 pengunjung ke sini. Bagi memastikan orang ramai berpuas hati, kami menambah baik pelbagai kemudahan sama ada persekitaran, permainan dan lain-lain.

“Semua tarikan yang disediakan i-City adalah antara yang terbaik antaranya pengunjung boleh merasai keseronokan melalui Tornado yang terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

Selain itu katanya, antara yang seharusnya dikunjungi adalah di City of Digital Lights yang mempunyai lebih sejuta lampu Light Emmitting Diode (LED).

Lebih menarik lagi katanya, dengan bayaran RM15 pengunjung boleh bermain 15 permainan di dalam kawasan terbabit.

Soke Cheng berkata, semua permainan yang disediakan itu adalah kolaborasi berhibur sambil belajar dan sesuai memberi pendedahan pelbagai simulasi teknologi untuk kanak-kanak serta golongan dewasa.

Selain itu katanya, antara tarikan lain yang disediakan seperti Adventure Studio, Submarine, Typhoon, Jungle Adventure, Fun Drive, Space Mission, House of Horror, Trick Art Museum, WaterWorld, Dancing Waters serta Mist Fountain.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web i-City di www.i-city.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:49 AM