TANG (kiri) bersama Jackie.
TANG (kiri) bersama Jackie.

Kuala Lumpur: I-City mengumumkan pelaburan RM10 juta bagi menjalankan transformasi digital bagi menambah baik taman temanya dengan pengalaman 3D Metaverse.

Ketua Riadah i-City, Tang Soke Cheng berkata, projek itu dijalankan dengan kerjasama China Mobile International (CMIM) untuk menggabungkan Bandar Lampu Digital i-City dengan pengalaman 3D Metaverse.

"Dengan Metaverse yang menjadi trend terbaharu dalam dunia pendidikan dan permainan, kami ingin menjadi yang pertama menggunakan teknologi sedemikian di Malaysia.

"Pengalaman baharu itu akan diperkenalkan pada detik tahun baharu 2023 dan pengalaman Metaverse dijangka menarik 10 juta pengunjung ke taman tema itu pada 2023," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pihaknya juga akan meluaskan pengalaman Metaverse kepada SnoWalk yang kini menjadi tarikan salji di Malaysia.

"Kami juga meneroka untuk memperluas tarikan digital interaktif baharu yang mempamerkan 'Aurora' dalam SnoWalk," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perusahaan CMIM, Jackie Chen Jiang Long berkata, pengenalan rangkaian 5G pada tahun ini adalah tepat pada masanya untuk projek itu.

"Metaverse memerlukan modaliti 3D untuk dihantar secara digital. Ini boleh dalam bentuk avatar dan struktur antara lainnya.

"Lebih banyak model 3D, lebih banyak butiran yang diperlukan dan lebih banyak data yang akan digunakan.

"Oleh itu, pelaksanaan 5G bersama dengan infrastruktur pengkomputeran awan skala besar yang sedang dibina oleh i-City, akan memainkan peranan penting dalam kejayaan projek ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 7:10 AM