LUKISAN 3D sebuah perahu seolah-olah terbalik.
LUKISAN 3D sebuah perahu seolah-olah terbalik.
 GAMBAR ilusi seolah-olah ada menghidangkan minuman kepada anda.
GAMBAR ilusi seolah-olah ada menghidangkan minuman kepada anda.
PENULIS seolah-olah berada di hadapan ‘cermin’.
PENULIS seolah-olah berada di hadapan ‘cermin’.
PELBAGAI patung lilin di Red Carpet.
PELBAGAI patung lilin di Red Carpet.
TAMAN tema Waterworld.
TAMAN tema Waterworld.
SUASANA musim sejuk di SnoWalk.
SUASANA musim sejuk di SnoWalk.
Oleh Roslan Ibrahim

"Ingatkan gambar biasa dalam bingkai gambar tu, rupanya memang orang betul.

"Memang mengelirukan...," bisik hati saya apabila memasuki galeri Trick Art Museum di i-City, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Jemputan i-City kepada media dan keluarga untuk penginapan dua hari satu malam sempena pembukaan hotel baru, Best Western di taman tema itu memang berbaloi dan menyeronokkan.

Trick Art Museum antara tarikan utama i-City dan kerana menggunakan keunikan seni lama Trompe L'oell yang mengelirukan minda melalui ilusi dan kepintaran memadankan bayang-bayang sehingga objek itu kelihatan sama.

Lukisan Trick Art bermula 200 tahun lalu ketika zaman Renaissance dan negara paling awal mempunyai Trick Art Museum ialah Jepun. Kini Perancis, Amerika Syarikat, Filipina dan Thailand turut memilikinya.

Trick Art Museum di i-City Shah Alam adalah yang seumpamanya di negara ini dan ia amat baik bagi merangsang otak kerana pengunjung lebih fokus dan berfikir.

Semua lukisan catan dan bebas dilukis di dinding dan lantai muzium setinggi dua tingkat di kawasan seluas 743 meter menggunakan aplikasi 3D. Pelukis dari China, Iran dan Korea mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan lukisan itu. Ia memaparkan lima tema seni iaitu karya terkenal, sejarah makam Mesir, hidupan laut, alam haiwan dan adiwira klasik.

Penulis dan keluarga mengambil peluang bergambar dengan pelbagai konsep tema lukisan yang mengelirukan.

Seronok melihat pelbagai aksi pengunjung yang bergambar dengan tema lukisan berkenaaan supaya gambar seolah-olah 'hidup' dan asli.

Di satu sudut, Spiderman 'menembak' sarang labah-labahnya dan anda melakukan aksi seolah-olah terperangkap dalam sarang itu.

Begitu juga ketika aksi ngeri seekor lembu jantan mahu menanduk, anda perlu beraksi sebagai matador dengan memegang kain berwarna merah.

Pengurus Informasi i-City, Tan Soke Cheng berkata, Trick Art Museum amat sesuai dikunjungi seisi keluarga kerana banyak aksi spontan yang menyeronokkan di samping berpeluang bergambar dengan tema lukisan yang unik.

Beliau berkata, muzium itu pernah mencatatkan kehadiran 90,000 pengunjung seminggu.

"Kami yakin dengan beberapa segmen baru yang diadakan, jumlah pengunjung akan meningkat," katanya.

Katanya, semua lukisan dan hasil seni itu boleh disentuh kerana jika dilihat secara mata kasar, ia seperti lukisan biasa, tapi apabila diambil gambar dengan pelbagai aksi (100 gaya dicadangkan) ia menjadi rakaman luar biasa.

Memang benar kata-kata Soke Cheng kerana penulis dan keluarga teruja berada di muzium itu dan tidak terasa dua jam berlalu.

INFO

-Penebusan tiket percuma ke taman tema Waterworld di i-City, Shah Alam, Selangor dilanjutkan sehingga Jumaat ini.

-Tiket penebusan boleh dilakukan di lobi Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad, Bangsar, Kuala Lumpur.

- Penebusan tiket boleh dilakukan dari jam 10 pagi hingga 4.30 petang dengan membawa 20 keratan kepala akhbar Harian Metro bermula 24 November 2014.

- Tiket percuma untuk masuk ke taman tema Waterworld ialah pada 13 dan 14 Disember 2014

3 tarikan terbaru

Dikenali 'City of Digital Lights', taman tema i-City sentiasa menjadi pilihan pengunjung yang datang berlibur bersama keluarga. Taman tema itu mempunyai tarikan terutama pada waktu malam manakala WaterWorld@-i-city menarik pengunjung pada waktu siang.

Kini, i-City memperkenalkan tiga tarikan permainan terbaru yang menggabungkan elemen pendidikan dan keseronokan di taman tema FunWorld iaitu Itsy Bitsy, Jungle Adventure dan Fun Drive.

* Fun Drive

Satu bandar mini direka bentuk bagi membolehkan kanak-kanak mengenali kenderaan dan peraturan lalu-lintas. Mereka akan mengendalikan kenderaaan sendiri sambil mengikut beberapa peraturan lalu-lintas yang ditetapkan.

Di FunDrive bukan hanya terdapat banyak papan tanda keselamatan, lampu isyarat dan laluan pejalan kaki tetapi beberapa monumen seperti 'candy shop', bank, stesen minyak dan bengkel kereta.

Permainan itu mendidik mereka belajar mengikut peraturan sambil merasai keseronokan. Ia sekali gus membentuk peribadi kanak-kanak menghormati pengguna lain.

Kanak-kanak juga dididik bersabar ketika di jalan raya.

* Jungle Adventure

Anak-anak dan ibu-bapa merasai keseronokan menerokai alam hutan jadi dengan bertemu dengan 'Encik Harimau' dan 'tiga beruang' yang peramah yang dihasilkan melalui ilustrasi patung.

Pengunjung juga boleh bermain kereta langgar-langgar yang amat menyeronokkan.

* Itsy Bitsy

Taman tema magik ini menginspirasikan kenangan zaman kanak-kanak. Ia mengandungi lima jenis permainan yang menyeronokkan dan boleh dimain seisi keluarga, antaranya 'Rocking Chaise Car.'

Bagi anak-anak yang sukakan cabaran, 'wall climbing' memang sangat sesuai kerana ia mencakupi segala bentuk alatan yang mencabar.

Begitu juga permainan di 'sky trek' yang agak popular untuk anak-anak dewasa.

Permainan lain yang mencabar ialah 'The Jumping Frog' dan 'Mini Ship Pirates'.

* Red Carpet

Muzium patung lilin pertama di negara ini dibuka pada Ogos 2013 dan mempunyai 100 patung lilin, antaranya Angeline Jolie, Bapa Kemerdekaan Tuanku Abdul Rahman, Barack Obama, Jet Li, Yaseer Arafat dan John Travolta.

Ada sebahagian patung boleh menggerakkan beberapa anggota tubuh dan mengeluarkan suara.

* House of Horror (Rumah Hantu)

Mereka yang gemar sesuatu yang berbeza dan mahukan kelainan, tempat ini perlu dicuba kerana suasana dan watak-watak yang dipersembahkan dicipta untuk memberi kejutan kepada pengunjung.

* SnoWalk

Pertama seumpamanya di Asia Tenggara, kawasan seluas 50,000 kaki persegi itu mengandungi 100 tan ais batu yang direka bentuk khusus pakar ais batu dari Harbin, China bagi membolehkan anda merasai suasana musim sejuk.

Selain melihat 30 ukiran ais yang diterangi lampu LED, pengunjung boleh bermain snowboarding atau meluncur di bawah suhu 5 darjah Celsius di bilik musim sejuk buatan manusia ini.

* WaterWorld

Dibuka pada November 2012, taman tema air seluas empat hektar ini mempunyai pelbagai tarikan, antaranya The Tornado.

Ia adalah tunggangan selama 28 saat yang mengandungi kumpulan seramai empat orang dan mereka akan menggelongsor menggunakan tiub getah ke dalam terowong air curam setinggi tujuh tingkat dengan kecerunan 45 darjah.

* Bandar Lampu Digital

I-City Shah Alam adalah taman tema yang mempunyai tarikan utama dinyalakan berjuta-juta lampu LED.

Tempat kegemaran keluarga ini terkenal dengan pohon maple dan pine palsu serta bunga matahari yang dihiasi lampu LED berwarna-warni pada waktu malam.

* Waktu Operasi I-City

- City of Digital Lights: 7 ptg-4 pg

- Outdoor Park Rides: 6 ptg-12 pg

- Snowalk : 10 pg-12 pg

- FunWorld : 2 ptg-11mlm

- Tama Tema WaterWorld: 10 pg-7 mlm

- Trick Art Museum: 11 pg-11 mlm

* Cara ke Sana

1. Komuter & Teksi: Dari KL Sentral, naik komuter KTM ke stesen Padang Jawa, Shah Alam. Dari situ, ambil teksi ke I-City

2. Dengan Bas: Dari KL naik RapidKL U80 ke Shah Alam. Dari situ, naik bas U605.

3. Dengan Pengangkutan Sendiri: Gunakan Lebuhraya Persekutuan. Keluar di tol Batu Tiga. Kemudian ikut papan tanda

* Penginapan

Jika anda datang dari luar Kuala Lumpur, anda boleh memilih mana-mana hotel di kawasan ini bagi memudahkan anda ke sini, antaranya Hotel Best Western yang baru dibuka, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:06 AM