PENGUNJUNG berpeluang melihat patung tokoh terkenal dunia termasuk ikon personaliti tempatan dengan lebih dekat di Red Carpet 2@iCity.
PENGUNJUNG berpeluang melihat patung tokoh terkenal dunia termasuk ikon personaliti tempatan dengan lebih dekat di Red Carpet 2@iCity.
Sofyan Rizal Ishak


Shah Alam: Anda mahu berswafoto bersama selebriti dan figura pemimpin terkemuka dunia tanpa perlu bersesak dan pergi ke pelbagai lokasi?

Kini ia boleh direalisasikan apabila i-City menawarkan peluang untuk orang ramai merakamkan gambar kenangan bersama 100 selebriti dan figura pemimpin dunia ketika mengunjungi Muzium Patung Lilin Interaktif, Red Carpet 2@iCity.

Pengurus Maklumat i-Berhad, Tang Soke Cheng berkata, tarikan terkini di i-City itu tampil dengan pelbagai pembaharuan dan menawarkan pengalaman lebih interaktif serta menarik kepada pengunjung yang ingin menyaksikan sendiri figura terkenal dunia dalam bentuk patung lilin.

“Paling menarik, orang ramai boleh menyentuh sendiri, berinteraksi dan merakamkan gambar bersama patung lilin ikon terkenal dengan mewujudkan suasana yang dicipta sendiri berdasarkan latar belakang dan peralatan disediakan,” katanya.

Beliau berkata, Red Carpet 2@i-City dibina dalam bangunan dua tingkat seluas 30,000 kaki persegi dengan zon dalaman dan luaran dibahagikan kepada 10 kategori iaitu Super Hero, Kerabat Diraja, sejarah, ketua negara, Sci-fi/magical, Korporat/ Teknologi, Angkasa, K-Pop, Bintang Pop dan Oscar.

“Antara selebriti dan figura pemimpin terkenal adalah bintang Running Man, Yoo Jae Suk dan Song Ji Hyo, pelakon Korea, Song Joong Ki, Bruce Lee, Tom Hanks, The Rock, Will Smith, Harry Potter, barisan adiwira Marvel dan pemimpin terkenal dunia seperti Donald Trump serta Vladimir Putin,” katanya.

Yuran masuk ke Red Carpet 2@i-City adalah RM150 (dewasa) dan RM100 (kanak-kanak) bagi pelancong asing dan RM100 (dewasa) serta RM50 (kanak-kanak) bagi warga tempatan.

Bersempena musim cuti persekolahan ini, i-City menawarkan promosi menarik di mana orang ramai berpeluang menikmati satu tiket percuma apabila membeli dua tiket masuk ke i-City.

“Kempen ini bermula 19 Mac hingga 1 April depan di mana ia adalah tiket untuk memasuki dan mencuba semua tarikan ditawarkan i-City,” katanya.

Sementara itu, i-City dengan kerjasama akhbar Harian Metro turut menganjurkan peraduan Teka Si Popular iaitu peserta perlu meneka lima watak dipaparkan dalam video di laman Facebook Harian Metro untuk memenangi dua tiket masuk ke Red Carpet 2@i-City bernilai RM300.

Seramai 15 pemenang bagi kempen itu sudah dikenal pasti dan ia akan dimaklumkan pihak i-City melalui panggilan telefon dan aplikasi Facebook Messenger.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 10:53 AM