BAHAGIAN hadapan Red Carpet 2 @ i-City dipenuhi taman bunga bercahaya.
BAHAGIAN hadapan Red Carpet 2 @ i-City dipenuhi taman bunga bercahaya.
 TANG      di hadapan Muzium Patung Lilin Interaktif, Red Carpet 2 @ i-City.
TANG di hadapan Muzium Patung Lilin Interaktif, Red Carpet 2 @ i-City.
PATUNG  lilin   di Red Carpet 2 @ i-City.
PATUNG lilin di Red Carpet 2 @ i-City.
PENGUNJUNG berpeluang berswafoto dengan patung lilin.
PENGUNJUNG berpeluang berswafoto dengan patung lilin.
GELAGAT  pengunjung bergambar bersama patung lilin  di Red Carpet 2 @ i-City.
GELAGAT pengunjung bergambar bersama patung lilin di Red Carpet 2 @ i-City.
Nur Izzati Izzah Nadzi

Shah Alam: Patung bintang Running Man Yoo Jae Sok dan Song Ji Hyo serta pelakon yang membintangi drama Descendants of the Sun Song Joong Ki menjadi antara tarikan utama yang boleh didapati di Muzium Patung Lilin Interaktif, Red Carpet 2 @ i-City, di sini.

Muzium berkenaan yang dijangka dibuka mulai pertengahan bulan ini memberi orang ramai peluang berswafoto bersama ikon terkenal dan popular berkenaan.

Sebanyak 100 patung lilin pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan selebriti terkenal antaranya The Rock, Will Smith, Jacky Chan serta karakter Super Hero seperti Spiderman, Iron Man, Hulk dan lain-lain juga menjadi daya penarik orang ramai berkunjung ke muzium berkenaan.

Turut dipamerkan Presiden Korea Selatan yang baru Moon Jae In dan isterinya Kim Jeong Suk.

Pengurus Maklumat i-Berhad Tang Soke Cheng berkata, perasmian Muzium Patung Lilin Interaktif, Red Carpet 2 akan dilakukan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada 15 Ogos ini.

Menurutnya, Red Carpet 2 diselitkan dengan elemen teknologi canggih dan lebih bercahaya dengan lampu bagi memberi kelainan serta patung lilin tampak asli.

“Orang ramai boleh menyentuh, berswafoto dan berinteraksi bersama patung lilin ikon terkenal yang menjadi kegemaran mereka antaranya Michael Jackson, Justin Bieber, Lady Gaga, Harry Potter, bintang Korea dan banyak lagi,” katanya selepas memperkenalkan Red Carpet 2 @ i-City, di sini, kelmarin.

Menurutnya, bangunan Red Carpet 2 mempunyai dua tingkat dan dilengkapi zon pintu masuk serta keluar.

“Zon pintu keluar outdoor dibuka secara percuma kepada orang ramai yang mahu bergambar dan melawat di Wizardry World yang dilengkapi lampu LED selain lukisan Superhero di sekeliling dinding bangunan,” katanya.

Harga tiket masuk ke Red Carpet 2 bagi pelancong luar negara adalah RM150 untuk dewasa dan RM100 bagi kanak-kanak, manakala bagi pengunjung tempatan pula RM100 untuk dewasa dan RM50 bagi kanak-kanak.

i-City juga akan mengadakan persembahan percikan bunga api sempena sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan iMalaysian pada jam 10 malam 30 Ogos ini.

Dalam pada itu, i-City disenaraikan sebagai 25 lokasi paling bercahaya dan berwarna-warni di dunia oleh CNN Travel dan i-Berhad berbangga projek unggulnya, i-City Ultrapolis dapat mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 5:40 AM