PENGUNJUNG berswafoto dengan figura Bapa Kemerdekaan.
PENGUNJUNG berswafoto dengan figura Bapa Kemerdekaan.
HM Digital

Shah Alam: Taman Tema i-City, di sini, terus menjadi pilihan keluarga membawa anak bersiar-siar sempena cuti sekolah.

Menariknya, Muzium Patung Lilin Interaktif Red Carpet 2 @ i-City turut memperkenalkan patung lilin bapa kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman untuk memperingati jasa tokoh besar itu.

Pengunjung Suhaili Abu Bakar, 41, berkata, dia teruja membawa anaknya menyaksikan pelbagai figura yang diperbuat daripada lilin.

“Saya sebelum ini memang tidak tahu ada muzium patung lilin termasuk bapa kemerdekaan kita dan menyedarinya apabila melihat rakan memuat naik gambar di media sosial.

“Pada mulanya saya menyangka ia di luar negara. Bagi mendapatkan kepastian, kami ke i-City dan puas hati dapat melihat figura itu,” katanya.

Pengunjung Zalina Othman, 41, berkata, kunjungannya ke i-City menambah pengetahuan am kepada anaknya.

“Ini kerana selain watak adiwira seperti Iron Man dan Captain America, patung yang dipamerkan merangkumi tokoh terkemuka,” katanya.

Pengurus Maklumat i-Berhad Tang Soke Cheng berkata, Muzium Patung Lilin Interaktif mempunyai lebih 100 patung yang memberi peluang kepada pengunjung menyentuh dan berswafoto.

“Kita menggunakan elemen teknologi canggih dan bercahaya dengan lampu bagi memberi kelainan, selain menjadikan patung lilin kelihatan asli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 8:26 AM