TANG (kanan) bersama Farah di hadapan ‘Itsy Bitsy’ di i-City Shah Alam, semalam.
TANG (kanan) bersama Farah di hadapan ‘Itsy Bitsy’ di i-City Shah Alam, semalam.

Shah Alam: Sebanyak 15,000 tiket ke taman tema WaterWorld@i-City di sini, menanti pembaca setia Harian Metro (HM) sempena Gempak Santai HM yang akan berlangsung pada 13 dan 14 Disember ini.

HM dengan kerjasama i-City akan mengagihkan tiket masuk secara percuma itu kepada pembaca bagi menghargai sokongan mereka, selain memberi peluang menikmati musim cuti persekolahan bersama keluarga.

Pengurus Besar Perkhidmatan Pelanggan dan Projek Khas The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Farah Ezrin Mohd Rashidi berkata, untuk memperoleh tiket percuma itu, pembaca perlu mengumpul keratan kepala akhbar Harian Metro dan Metro Ahad.

“Dengan hanya mengumpul 20 keratan kepala akhbar Harian Metro dan Metro Ahad, mereka akan diberi dua tiket ke Gempak Santai Harian Metro WaterWorld@i-City,” katanya selepas majlis penyerahan penajaan, di i-City, semalam.

Menurutnya, pembaca perlu mengumpul keratan kepala akhar bermula 24 November hingga 7 Disember depan bagi ditukar dengan dua tiket masuk percuma itu.

“Tiket masuk ke WaterWorld@i-City ini sah untuk dua hari iaitu bermula 13 dan 14 Disember saja dan pembaca boleh menebus tiket masuk di ruang khas Karnival HM Padat 2014 yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada 6 dan 7 Disember depan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Maklumat i-City, Tang Soke Cheng berkata, sambutan hangat dan kejayaan Gempak Santai HM di i-City pada 2012 membuatkan pihaknya berbesar hati untuk terus menjalinkan kerjasama.

“Memandangkan i-City lokasi riadah bersama keluarga, ia pilihan terbaik untuk program ini. Pengunjung bukan saja dapat merasai pengalaman bermain di taman tema WaterWorld@i-City, mereka juga berpeluang melakukan pelbagai aktiviti,” katanya.

Menurutnya, sempena Gempak Santai HM, i-City turut menawarkan pakej promosi kepada pembaca Harian Metro dengan harga RM49 dan i-card percuma bernilai RM10.

“Antara pakej ditawarkan adalah Snow Walk dan Space Mission, Red Carpet dan Typhoon, Adventure Studio, Typhoon dan House of Horror serta Water World dan Treat Art,” katanya.

Katanya, i-City pilihan terbaik untuk dijadikan destinasi pilihan keluarga untuk beriadah kerana selain mempunyai taman permainan seperti ‘Itsy Bitsy’, ‘Jungle Adventure’ dan ‘Fun Drive’, i-City juga mempunyai tarikan baru seperti ‘Dancing Water’ dan ‘Mist Fountain’ yang terletak di FunWorld i-City.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 7:14 AM