DR ZAINAL Ariff memegang model tengkorak ketika memeriksa keadaan Nurdayana, kelmarin.
DR ZAINAL Ariff memegang model tengkorak ketika memeriksa keadaan Nurdayana, kelmarin.
Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Harapan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang dilahirkan tanpa hidung untuk bernafas secara normal mungkin menjadi kenyataan selepas dia dibawa menemui seorang doktor pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, kelmarin.

Pertemuan antara Nurdayana Mohd Zaini sekeluarga bersama Dekan dan Perunding Kanan Pembedahan Mulut dan Maksilofasial Prof Datuk Dr Zainal Ariff Abdul Rahman itu diaturkan menerusi We Love Charity serta seorang pembaca akhbar Harian Metro, Azah Hassan, 47, yang kebetulan mengenali doktor pakar berkenaan.

Nurdayana yang ditemani ibunya, Lina Awang, 35, dan bapa, Mohd Zaini Sulaiman, 47, serta abangya, Muhammad Hidayat, 10, meluangkan masa kira-kira sejam bersama Dr Zainal Ariff untuk melihat keadaan sebenar masalah yang dihadapi.

Menurut Dr Zainal Ariff, kanak-kanak itu mungkin memerlukan beberapa pembedahan dan rawatan susulan termasuk ketika berusia belasan tahun nanti.

Katanya, pembedahan itu akan dilakukan pasukan craniofasial yang disertai sekurang-kurangnya 10 doktor pakar dan Nurdayana akan bertemu dengan pasukan terbabit dalam pertemuan kedua nanti bagi membolehkan analisis terperinci dilakukan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 8:59 AM