LINA berharap kesihatan anaknya bertambah baik.
LINA berharap kesihatan anaknya bertambah baik.

Johor Bahru: “Alhamdulillah, kami tidak putus-putus menerima sumbangan dermawan untuk membiayai kos rawatan diperlukan Nurdayana Mohd Zaini,” kata Lina Awang, ibu kepada seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang dilahirkan tanpa hidung.

Lina berkata, sejak kisah anaknya dipaparkan Harian Metro, RM4,000 dikumpulkan sehingga kini bertujuan untuk menampung kos rawatan diperlukan anak perempuannya itu.

Lina, 36, berkata, dia berterima kasih kepada penyumbang dan jiran terdekat yang datang menziarahi anaknya, Nurdayana di rumah.

Menurut Lina, dia berharap supaya orang ramai terus mendoakan anaknya diberi kesihatan yang baik pada masa akan datang.

“Saya bersyukur kerana masih ramai insan yang prihatin dan sanggup menghulurkan sumbangan walaupun tidak mengenali keluarga kami dengan lebih dekat dan hanya membaca kisah Nurdayana menerusi akhbar ini.

“Hanya Allah S.W.T saja yang dapat membalas kebaikan mereka dan sebagai ibu, saya tentunya berharap supaya segalanya dipermudahkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Menceritakan perkembangan terkini Nurdayana, Lina berkata, anak bongsunya itu kini berada di bawah jagaannya sementara suaminya, Mohd Zaini Sulaiman, 46, bekerja sebagai pemandu lori.

“Cuma, keluarga kami hanya bergantung kepada pendapatan suami sebagai pekerja kontrak dengan pendapatan RM1200 sebulan dan RM300 bantuan bulanan Baitulmal,” katanya.

Kisah Nurdayana yang dilahirkan tanpa hidung dan pertama di Johor mendapat liputan akhbar ini, malah dengan keadaan kesihatannya itu menyebabkan ibunya, Lina bimbang kerana anak perempuannya itu memasuki prasekolah tahun depan.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Mohd Zaini 01991-41-00000975-7.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 6:19 AM