DAYANA dan ibunya melihat keratan akhbar Harian Metro di Kempas.
DAYANA dan ibunya melihat keratan akhbar Harian Metro di Kempas.

Johor Bahru: Usaha membawa Nurdayana Mohd Zaini yang dilahirkan tanpa hidung bertemu doktor pakar di Kuala Lumpur perlu dilakukan segera bagi memastikan prosedur perubatan selanjutnya dapat dibuat terhadap kanak-kanak berusia empat tahun itu.

Pengerusi We Love Charity, Marziana Abd Rashid berkata, sejak berusia empat bulan hingga kini, tiada sebarang cadangan diberikan untuk membantu memulihkan tahap kesihatan Nurdayana melainkan menutup saluran pernafasannya.

“Kami berharap ada tindakan segera dilakukan dan jika boleh kami mahu membawa Nurdayana mendapatkan rawatan pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) supaya penyakit dihadapinya dapat ditangani segera.

“Selepas itu barulah kami tahu apakah prosedur rawatan seterusnya dan mengetahui kos sebenar diperlukan, sekali gus membolehkan tabung khas bagi membiayai rawatannya itu ditubuhkan,” katanya ketika dihubungi bagi mendapatkan maklum balas mengenai Nurdayana.

Marziana berkata, dalam jangka masa terdekat ini, pihaknya mengharapkan badan korporat serta insan prihatin menaja ibu kanak-kanak terbabit, Lina Awang, 35, serta Nurdayana ke Kuala Lumpur.

“Kos itu hanya untuk mereka berdua termasuk penginapan, makan dan minum dengan wang disalurkan ke dalam akuan bank mereka.

“Dengan keadaan negara yang dilanda jerebu, adalah lebih baik sekiranya kedua ibu dan anak itu dibawa menaiki pesawat apatah lagi keadaan Nurdayana yang sensitif kepada persekitaran,” katanya.

Sementara itu, Lina berkata, dia sangat mengharapkan anaknya menjalani rawatan pakar kerana keadaan kesihatannya masih menjadi tanda tanya sehingga kini.

“Ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor, doktor memaklumkan anak saya sepatutnya dirujuk ke hospital di luar negara, namun tidak memperincikan mengenainya.

“Sebagai ibu, saya ingin mengetahui mengenainya, malah kes seumpama itu pernah dihadapi rakyat Singapura, namun disebabkan tidak tahu saluran tepat, hasrat saya tergantung.

“Dia juga sensitif dengan kanak-kanak lain di persekitarannya yang demam kerana jika dijangkiti sudah pasti saluran pernafasannya terganggu.

“Dengan pendapatan suami yang cukup makan, saya perlu mencari rezeki dengan membantu mengasuh anak jiran meskipun sedar risiko bakal dihadapi,” katanya.

Malah, Nurdayana perlu mengelak daripada menangis kerana jika ia berlaku, ada kemungkinan kahak yang kering menutupi saluran pernafasannya.

Harian Metro semalam melaporkan kebimbangan Lina terhadap Nurdayana sekiranya anak perempuannya itu memasuki prasekolah tahun depan.

Susulan itu, pertubuhan We Love Charity bercadang mewujudkan tabung amal bagi membantu kanak-kanak itu termasuk membiayai pembedahan plastik jika berpeluang melakukannya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Mohd Zaini 01991-41-00000975-7.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 9:45 AM