SEORANG lelaki melihat bangkai ikan lumba-lumba yang dijumpai terdampar.
SEORANG lelaki melihat bangkai ikan lumba-lumba yang dijumpai terdampar.

Sungai Petani: Seorang penduduk kampung yang sedang mengutip daun untuk dijadikan makanan buat kambing ternakannya terkejut apabila menemui bangkai ikan lumba-lumba di pesisiran pantai Pulau Sayak, Kota Kuala Muda, di sini, semalam.

Muhd Yusuf Abu Bakar, 57, berkata, dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi, dia yang sering ke kawasan itu terlihat satu benda aneh terdampar di tepi laut yang berlumpur.

“Kebetulan pagi ini (semalam), air laut sedang surut membuatkan saya melalui kawasan tepi pantai sebelum menemui bangkai ikan lumba-lumba seberat kira-kira 100 kilogram ini,” katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, dia terkejut kerana haiwan itu dipercayai sudah mati sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaannya yang semakin mereput.

“Saya tidak menemui sebarang kecederaan di bangkai ikan lumba-lumba itu dan tidak pasti punca kematiannya. Namun, spesies ini sebenarnya kerap dilihat oleh penduduk kampung,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 7:54 AM