Norzamira Che Noh


SEORANG nelayan berjaya menyelamatkan seekor ikan lumba-lumba yang terperangkap di kawasan cetek di Pantai Remis, Sungai Sembilang, Kuala Selangor, petang tadi.

Nelayan terbabit, Husin Jaumar, 58, berkata, ketika kejadian dia sedang bersantai di pantai itu sebelum melihat objek kehitaman kira-kira 10 meter darinya kira-kira jam 3 petang.

“Pada awalnya saya ternampak ‘benda’ hitam lalu terus mendekatinya dan terkejut mendapati ia rupa-rupanya seekor ikan lumba-lumba.

“Ikan itu kelihatan lemah dan terdampar di kawasan berbatu. Bimbang badannya luka terkena batu, saya segera mengalihkan ikan itu ke kawasan berdekatan yang tidak berbatu lalu menghubungi talian kecemasan,” katanya.

Menurutnya, ikan lumba-lumba itu dianggarkan sepanjang 1.2 meter dan beratnya kira-kira 40 kilogram.

“Ia kejadian pertama yang pernah saya alami. Biasanya saya melihat ikan berkenaan ketika turun memukat ikan di tengah laut.

“Saya sememangnya pelik apabila melihat ikan itu terdampar di tepi pantai dan mungkin ia tersesat daripada kumpulannya sebelum terdampar ketika air laut surut,” katanya.

Husin berkata, dia dan beberapa rakan bertindak melepaskan ikan berkenaan sebaik air laut kembali pasang.

“Saya gembira kerana ikan berkenaan berjaya dilepaskan ke tengah laut walaupun gagal berbuat demikian pada cubaan awal kerana ia kembali ke pantai sebaik dilepaskan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Kuala Selangor, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan ikan lumba-lumba berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 6:55 PM
Husin mengangkat keluar ikan lumba-lumba yang terperangkap di kawasan cetek di Pantai Remis, petang tadi. FOTO ihsan APM
Husin mengangkat keluar ikan lumba-lumba yang terperangkap di kawasan cetek di Pantai Remis, petang tadi. FOTO ihsan APM