BANGKAI ikan lumba-lumba  ditemui di pesisiran laut di Pangkalan Baru di Marina Island.
BANGKAI ikan lumba-lumba ditemui di pesisiran laut di Pangkalan Baru di Marina Island.
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Bangkai seekor anak ikan lumba-lumba ditemui dalam keadaan perut yang sudah pecah di Pangkalan Baru di Marina Island, di sini, semalam.

Bangkai mamalia itu ditemui pada jam 3 petang oleh pasukan Jabatan Perikanan Daerah Manjung yang menerima maklumat awam berhubung penemuan bangkai itu.

Ketua Daerah Perikanan Rosdi Nazri Mat Din berkata, anak ikan lumba-lumba atau porpoise itu yang anggaran beratnya lima kilogram dipercayai sudah mati sejak seminggu lalu.

Menurutnya, pihaknya menemui bangkai itu kira-kira 4 batu nautika dibawa air dari lokasi awal ia didakwa ditemui di persisiran laut di kawasan pulau itu pada Khamis lalu.

“Bangkai ikan itu akan dilupuskan dan kita tidak dapat mengenal pasti jantina anak ikan lumba-lumba itu berikutan keadaan ikan itu.

“Justeru, kita menasihati nelayan atau orang awam yang menemui kes seumpama ini pada masa akan datang terus melaporkan kepada pihak kami untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 6:21 AM