Muhammad Saiful (kiri) dan Mohd Rahmad menarik bangkai ikan lumba-lumba jauh dari gigi pantai di Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling. Foto HASSAN OMAR
Muhammad Saiful (kiri) dan Mohd Rahmad menarik bangkai ikan lumba-lumba jauh dari gigi pantai di Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling. Foto HASSAN OMAR
Hassan Omar


Melaka: Seekor ikan lumba-lumba seberat kira-kira 200 kilogram (kg) dan sepanjang 2.4 meter ditemukan terdampar di pantai Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling, dekat sini, hari ini.

Bangkai ikan itu ditemukan nelayan, Muhammad Saiful Safuan Mad Aris, 25, ketika dia bersama tekong, Mohd Rahmad Khamis, 37, hendak keluar menangkap ikan kira-kira jam 4 petang tadi.

Mohd Rahmad berkata, ketika turun ke pantai untuk menolak perahu, dia terkejut apabila Muhammad Saiful yang sudah tiba di pangkalan nelayan itu lebih awal daripadanya memberitahu ikan lumba-lumba terdampar di gigi pantai.

"Kami terus mendapatkan ikan itu sebelum dapati ada kesan cedera pada bahagian bawah perut dan kulit di sebelah kirinya sudah mengelupas sedikit, dipercayai akibat sudah lama mati sebelum hanyut ke pantai.

"Kami menarik ikan itu jauh dari gigi pantai bagi mengelakkan ia hanyut jauh ke tengah laut," katanya ketika ditemui, di sini hari, ini.

Katanya, dia percaya ikan lumba-lumba itu sudah mati beberapa hari sebelum dihanyutkan ombak ke pantai berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jaringan Nelayan Pantai Rombang, Azmi Leman berkata, dia menghubungi pegawai Jabatan Perikanan dan memaklumkan mengenai penemuan bangkai ikan lumba-lumba itu.

Katanya musim angin ribut barat ketika ini dipercayai menyebabkan ikan berkenaan berenang ke pinggir pantai berbanding habitat lazimnya di tengah laut.

Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Solehon ketika dihubungi berkata, beliau sudah mengarahkan pegawainya ke lokasi kejadian untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"Saya ucapkan terima kasih kepada nelayan yang menjumpai ikan itu kerana menariknya jauh dari gigi pantai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 8:00 PM