Mahtar  (kiri)  menampal notis penutupan sekolah di pintu pagar sekolah, semalam.
Mahtar (kiri) menampal notis penutupan sekolah di pintu pagar sekolah, semalam.

Langkawi: Sebanyak 28 sekolah menengah dan rendah di daerah ini ditutup sehari lagi hari ini berikutan keadaan jerebu yang masih teruk.

Arahan penutupan itu dimaklumkan kepada semua guru besar dan pengetua sekolah oleh Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi Marzuki Daud pada jam 5 petang, semalam.

Marzuki berkata, arahan melanjutkan penutupan sesi persekolahan di Langkawi itu dibuat oleh Kementerian Pendidikan berikutan keadaan jerebu yang tidak banyak berubah.

“Kementerian Pendidikan memberikan arahan penutupan dan saya menyalurkannya untuk tindakan semua guru besar serta pengetua di peringkat sekolah masing-masing.

“Terdapat 28 sekolah rendah dan menengah di seluruh Langkawi di mana Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi menggunakan beberapa saluran termasuk aplikasi WhatsApps serta laman sosial Facebook untuk memaklumkan segera perkara ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Sekolah Kebangsaan Langkawi (SKL), di sini, mendapati pengurusan sekolah mengambil tindakan menampal notis penutupan sesi persekolahan di pintu pagar sekolah sejurus menerima arahan terbabit.

Guru Besar SKL Mahtar Desa bersama Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Jamauddin Saad bersama seorang guru dan pengawal keselamatan menampal notis penutupan sesi persekolahan di pintu pagar pada jam 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 6:14 AM