SEBAHAGIAN 45 guru berpakaian lengkap sukan melakukan perbarisan lintas hormat dan perarakan masuk ke dalam dewan sebagai gimik Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Langkawi, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
SEBAHAGIAN 45 guru berpakaian lengkap sukan melakukan perbarisan lintas hormat dan perarakan masuk ke dalam dewan sebagai gimik Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Langkawi, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


SUASANA ceria dan penuh semangat kesukanan dengan guru berpakaian sukan dan melakukan perbarisan lintas hormat mewarnai sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Langkawi (SKL), Langkawi, hari ini.

Tinjauan mendapati, guru lelaki dan wanita di sekolah itu hadir dengan berpakaian sukan lengkap mengikut warna rumah sukan pilihan masing-masing seolah-olah mahu menyertai kejohanan sukan tahunan.

Ketibaan 45 guru sekolah itu diketuai Guru Besarnya, Mahtar Desa dengan berpakaian baju T, berseluar dan berkasut sukan menerima tepukan gemuruh lebih 600 murir.

Lebih mengujakan apabila guru terbabit turut melakukan perbarisan lintas hormat rumah sukan di hadapan pelajar di pekarangan sekolah sebelum memasuki dewan untuk upacara sambutan.

Ketika ditemui, Mahtar berkata, gimik guru memakai pakaian lengkap sukan itu bertujuan memupuk rasa cinta murid terhadap gaya hidup sihat, selain mengembalikan nostalgia guru mengenai zaman persekolahan mereka.

"Acara lain yang turut memeriahkan sambutan ini termasuk bacaan perutusan ketua pengarah dan menteri pendidikan, nyanyian lagu `Guru Malaysia', sukaneka, dan persembahan pelajar serta guru," katanya.

Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SKL, Mohd Sofi Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 11:33 AM