Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Hari pertama persekolahan bagi 118 murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Langkawi (SKL), di sini, berlangsung dalam suasana penuh ceria.

Tinjauan mendapati murid terbabit diiringi ibu bapa masing-masing yang mahu melihat anak mereka berpakaian seragam dengan dilengkapi tanda nama.

Murid, Afdhal Mu'ammar Mohd Noh Fadzl, 7, dari Taman Seri Dayang, dekat sini, berkata, dia memang suka pergi ke sekolah kerana boleh mendapat ramai kawan.

Dia sebelum ini belajar selama setahun di Tadika Jabatan Agama Islam Kedah di sini.

"Saya memang suka pergi sekolah sebab dapat kawan baru. Masa belajar di tadika juga, saya ada ramai kawan," katanya yang diiringi bapanya, Mohd Noh Fadzli Saia, 33.

Nur Eira Famisha Halim, 7, dari Kampung Penarak, di sini, berkata, dia tidak berasa sedih sebab memang sudah biasa bercampur dengan rakan lain sejak dari tadika lagi.

"Saya gembira bersekolah di sini sebab suasananya ceria, selain dapat jumpa ramai kawan," katanya yang juga anak bongsu daripada tiga beradik.

Guru besar, Mahtar Desa, berkata, seramai 118 murid mendaftar masuk untuk Tahun Satu di sekolah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 1:32 PM
AFDHAL Mu'ammar Mohd Noh Fadzli, 7, (kanan) bersama rakan-rakannya ketika menunggu giliran memasuki kelas. FOTO Hamzah Osman
AFDHAL Mu'ammar Mohd Noh Fadzli, 7, (kanan) bersama rakan-rakannya ketika menunggu giliran memasuki kelas. FOTO Hamzah Osman