Muhammad Hafizan bersama adik beradik dan sanak saudara.
Muhammad Hafizan bersama adik beradik dan sanak saudara.
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: “Kami menyambut Aidiladha esok (hari ini) secara ala kadar saja. Yang utamanya kami mahu adakan majlis tahlil untuk arwah ma (ibu),” kata Muhammad Hafizan Muhammad Noor, 26, anak kepada Allahyarham Rohana Ismail, 54, yang maut dalam kejadian kren tumbang di Masjidilharam, Makkah, 11 September lalu.

Muhammad Hafizan berkata, dia sekeluarga masih bersedih dengan pemergian ibu tersayang secara tiba-tiba, namun menerima perkara itu dengan reda.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, buat kali pertama tahun ini mereka menyambut hari raya tanpa kehadiran ibu.

“Sebelum ini, kami adik-beradik bersedia menyambut Aidiladha tanpa ma atau abah sebab mereka mengerjakan haji, tetapi pemergian ma secara tiba-tiba buat selama-lamanya memberi kesan emosi kami adik-beradik.

“Kami tak berhasrat menyambut secara meriah sebaliknya digantikan dengan kenduri tahlil untuk arwah yang akan diadakan di rumah keluarga di Kampung Dewan Beta, di sini,” katanya.

Menurutnya, bapanya, Muhammad Noor Harun, 56, kerap menghubungi mereka lima beradik untuk bertanya khabar terutama selepas kejadian itu.

“Malam semalam (kelmarin), abah menghubungi kami untuk bertanya persiapan raya kerana ini kali pertama kami menyambut tanpa mereka terutama dalam keadaan masih bersedih.

“Abah bimbang keadaan kami dan mahu anaknya berada dalam keadaan tenang. Kami bersyukur kerana dapat menerima ujian itu yang ditakdirkan,” katanya.

Menurutnya, menerusi perbualan telefon dengan Muhammad Noor, bapanya berkeadaan baik dan dapat menerima takdir yang berlaku, sekali gus meneruskan haji dengan sebaik mungkin.

“Saya harap bapa diberi kesihatan baik untuk mengerjakan haji dengan sempurna,” katanya.

Dalam kejadian 11 September lalu, Allahyarham Rohana antara tujuh jemaah disahkan meninggal dunia dalam kejadian kren tumbang di Masjidilharam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 5:16 AM